Tak boleh bandingkan kutipan pingat sahaja, lihat juga pelaburan yang negara lain lakukan – Hannah Yeoh

114

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa tidak wajar untuk melalukan perbandingan pingat yang dikutip oleh Malaysia dengan negara-negara lain.

Ini kerana, menurutnya setiap negara mempunyai pelaburan yang berbeza dan mengakui bahawa untuk melahirkan atlet yang berjaya ia memerlukan pelaburan lebih.


“Dalam mesyuarat kabinet nanti saya akan bentangkan pencapaian atlet negara dalam Sukan Asia 2023, dan seperti perbandingan yang selalu dilakukan dengan negara lain, kita tak boleh lihat dari segi kutipan pingat sahaja.

Kita juga harus lihat berapa banyak pelaburan yang dibelanjakan setiap negara, jika lihat kali ini, semua yang berjaya memerlukan pendedahan di luar negara dan latihan yang berbeza,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media menyambut ketibaan atlet-atlet negara yang bertanding pada Sukan Asia 2023 di KLIA sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, perubahan yang dilakukan oleh KBS untuk tidak menyatakan sasaran pingat pada Sukan Asia kali ini berdasarkan nasihat pakar berhasil dengan atlet mengakui bahawa mereka tidak merasai tekanan.

Katanya, KBS pada mulanya menjangkakan 27 pingat dan atlet negara berjaya melebihi jangkaan itu dengan membawa pulang 32 pingat.

Beliau berkata, kaedah itu akan diteruskan jika pihaknya mendapati bahawa ia memberi kesan positif kepada atlet.

“Pembaharuan dan kaedah baharu yang dilakukan berdasarkan cadangan pakar telah membuahkan hasil, tetapi apa sahaja yang kami buat mungkin ada pihak yang tidak gembira.

Jika kita letakkan sasaran terlalu tinggi kita dikritik tidak realistik, jika kita letak terlalu rendah kita dikritik tidak ada kemahuan, jika kita tidak letakkan sasaran pula kita dikritik tiada keyakinan.”

Tegasnya, prioriti pihak KBS adalah kepada atlet dan segala yang dilakukan oleh KBS adalah untuk kesejahteraan atlet.