Saya tak boleh dedah keadaan terkini SNBJ, biar TMJ sendiri lancarkan inisiatif baginda – Hans Isaac
Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac mendedahkan kerja-kerja mempersiapkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk menganjurkan Pestabola Merdeka 2023 masih dalam proses oleh agensi yang dilantik.
Katanya, keadaan stadium itu akan dipertontonkan kepada orang awam pada 12 Oktober ini dalam satu majlis yang akan dihadiri oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan juga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“PSM dengan agensi yang kami lantik untuk laksanakan padang itu masih dalam proses, setiap minit diambil kira. Buat kali pertama dalam sejarah PSM kami ada dua padang, satu saiz yang sama seperti SNBJ dibina di luar dan juga padang baharu Zeon Zoysia.
Saya tak boleh nak beritahu banyak sangat kerana pelancarannya pada 12 Oktober ini, TMJ sendiri akan lancarkan inisiatif baginda itu, dan turut akan dihadiri oleh Hannah Yeoh,”
katanya.
Katanya, beliau sedar orang ramai memintanya berkongsi keadaan terkini padang itu, tetapi beliau tidak boleh melakukan sedemikian bagi memberi penghormatan kepada TMJ selaku individu yang memberi sumbangan kepada perkara itu.
Beliau berkata, penyokong yang hadir ke SNBJ pada Pestabola Merdeka nanti akan merasai pengalaman baharu berada di stadium itu.
“Kami sudah tambah baik tandas, tempat solat serta banyak lagi perkara yang peminat tidak tahu, kami harap rakyat Malaysia akan berasa bangga dengan apa yang kita laksanakan.
Saya tak dapat kongsikan gambar kepada orang ramai kerana pelancaran itu pada 12 Oktober ini, kita biar TMJ dan Hannah Yeoh yang kongsikan gambar itu dahulu.”
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa PSM boleh bertindak sebagai konsultan bagi stadium-stadium lain di negara ini yang mahu menggunakan rumput Zeon Zoysia.
Katanya, PSM boleh berkongsi pengalaman serta cabaran yang dilalui kepada pihak-pihak yang berminat supaya mereka tidak perlu merasai kesusahan yang dilalui oleh PSM.