Mereka baru berusia 12 tahun dan akan buat silap, tugas saya baiki kekurangan mereka – Hafiz Zainal

315

Jurulatih skuad bawah 12 tahun Johor Darul Ta’zim, Hafiz Zainal tidak mempunyai masalah jika para pemainnya melakukan kesilapan sebaliknya mahu melatih mereka bermain secara kolektif berbanding kemahiran individu.

Hafiz yang ditemubual memberitahu di peringkat umur pembangunan ini, beliau merasakan sebaiknya untuk melatih para pemain beraksi di atas padang dengan corak permainan berpasukan memandangkan mereka masih muda.


“Di JDT mempunyai unit pencari bakat dan tugas saya pula adalah untuk memikirkan cara bagaimana untuk mereka bermain secara kolektif atau berpasukan sebab jika teknik individu mereka kurang kita akan cuba perbaiki kerana mereka baru berusia 12 tahun,”

Kejayaan JDT membenam pasukan Apuesto Bueno FC daripada Filipina dengan skor 12-0 sememangnya menunjukkan jurang yang besar antara dua pasukan tersebut tambahan pula dengan kelibat Saad Baharom yang berjaya mencipta nama sebagai penjaring dalam pasukannya.

Hafiz selaku jurulatih mengakui keberadaan Saad dalam pasukan sangat membantu meskipun baru dua minggu menjalani latihan bersama pasukan sebelum ke kejohanan Supermokh 2023 di Gambang, Kuantan, Pahang.

“Untuk Saad saya tidak bagi penekanan sangat sebab dari sudut individu memang kaki kiri kanan hidup boleh sepak tetapi bila melibatkan permainan secara berkumpulan belum lagi,”

“Biasalah pemain yang sedia adapun kami telah bersama lebih lima ke enam bulan berbanding Saad yang baru tiba dalam dua minggu,”

Jaringan demi jaringan yang disumbangkan hari ini, Hafiz melihat Saad sebagai sebuah pelaburan yang berbaloi dilakukan oleh unit pencari bakat JDT walaupun terpaksa meredah masuk sehingga ke pedalaman demi mendapatkannya.

“Unit pencari bakat empat ke lima jam masuk Gua Musang untuk mendapatkan dia dan saya rasa sangat berbaloilah dengan kehadiran Saad ke JDT ini.”