Nooa Laine teruja nak beraksi buat pertama kali di stadium keramat Harimau Malaya

552

Pemain tengah pasukan kebangsaan, Nooa Laine mengakui teruja untuk beraksi buat pertama kali di stadium keramat Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada kejohanan Pestabola Merdeka 2023.

“Ya saya belum pernah bermain di SNBJ tapi saya pernah tonton aksi skuad negara pada Disember lalu dan suasana di stadium cukup menakjubkan jadi saya tak sabar nak bermain di sana nanti,”

katanya.

Nooa adalah salah seorang daripada 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Pestabola Merdekat 2023 yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober ini.


Menurutnya, beliau tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan juga taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih.

Beliau juga mengakui berasa cukup bangga apabila dapat menyarung jersi Harimau Malaya dan berjanji akan memberi akan yang terbaik untuk pastikan skuad negara dapat keputusan positif.

“Ya betul sebelum ini saya bersama skuad B-23, tapi saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dalam skuad senior.

Bagi saya ia sentiasa baik apabila kita bermain untuk sesuatu (dapatkan piala) kerana dalam setiap kejohanan yang disertai sudah pastinya kita mahu menang. Mungkin untuk perlawanan persahabatan sedikit berbeza tetapi kami tetap mahu menang dalam setiap perlawanan.”

Dalam pada itu, pemain kacukan Finland-Malaysia ini berkata mereka perlu menang pada perlawanan menentang India nanti untuk memastikan mereka dapat mara ke perlawanan akhir dan juga dapat mengharungi dua perlawanan dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) kali ini.

Ia susulan pasukan Palestin terpaksa menarik diri di saat-saat akhir dek konflik yang sedang berlaku di negara itu ketika ini.

Sementara itu, Nooa mengakui pasukan mempunyai ramai pemain tengah yang berkualiti, namun beliau tidak bimbang dengan perkara itu kerana percaya dengan kemampuan dirinya.

“Sudah pasti kita mempunyai ramai pemain tengah berkualiti dan saya juga mempunyai kualiti itu. Jadi saya tidak bimbang, sebaliknya akan cuba bersaing secara sihat untuk mendapatkan tempat dalam skuad.”

Skuad negara akan membuka tirai kejohanan pada 13 Oktober ini menentang India dan jika menang akan menentang Tajikistan di perlawanan akhir pada 17 Oktober.