Impian Indonesia anjurkan Piala Dunia 2034 terus membara, mahu Malaysia jadi penganjur bersama
Baru-baru ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjemput pasukan-pasukan dari Asia dan Oceania untuk menghantar bidaan untuk menganjurkan Piala Dunia 2034.
Selepas FIFA mengumumkan perkara itu, Arab Saudi telah menghantar bidaan untuk menganjurkan kejohanan itu, dan ia telah disokong oleh Malaysia.
Perkara itu menjadikan Impian negara-negara Asia Tenggara yang sebelum ini dilaporkan mahu bekerjasama untuk menganjurkan kejohanan itu seakan-akan sudah malap.
Namun, Indonesia nampaknya mempunyai pelan lain apabila dilaporkan mempunyai pelan bagi menganjurkan kejohanan itu.
Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir baru-baru ini dilaporkan menyenaraikan dua pilihan untuk merealisasikan Impian Indonesia menganjurkan kejohanan itu.
Pertama adalah dengan menganjurkan kejohana itu bersama-sama dua negara Oceania iaitu Australia dan New Zealand.
Manakala pilihan kedua pula adalah untuk menganjurkan kejohanan itu dengan Australia serta dua negara jiran iaitu Malaysia dan Singapura.
Sekiranya Indonesia benar-benar mahu menganjurkan kejohanan itu bersama Malaysia, adakah pihak FAM akan mempertimbangkan cadangan itu dan membuat pusingan U daripada menyokong Arab Saudi?
Jika bidaan itu benar-benar berlaku, ia akan menjadi satu sejarah buat bola sepak Asia Tenggara dan pastinya Malaysia sendiri.