Terima kasih TMJ atas usaha berikan kami padang baru – Matt Davies

348

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Matthew Davies meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasihnya kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris atas inisiatif baginda yang menaja penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Menurut Matt, beliau dan rakan sepasukan nyata teruja apabila akhirnya dapat kembali beraksi di stadium keramat Harimau Malaya pada kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan membuka tirainya esok.


“Kami sangat gembira dan teruja dapat kembali turun beraksi di SNBJ di hadapan puluhan ribu penyokong negara selepas lebih setahun tidak dapat berbuat demikian.

Saya juga ingin berterima kasih kepada TMJ atas inisiatif berterusan untuk menyediakan padang baru untuk kami sekaligus dapat bantu kami untuk bermain dengan lebih menarik untuk peminat,”

katanya.

Menjelang perlawanan pembukaan esok menentang India, Matt berkata beliau dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk perlawanan esok kerana sudah dapat bayangan corak permainan yang akan ditampilkan oleh pasukan lawan.

“Ya memang pada awalnya kami tidak tahu banyak mengenai pasukan India tapi ketua jurulatih Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya telah membuat kerja mereka dengan baik sekali dalam menganalisis pasukan lawan, jadi kini kami sudah tahu banyak mengenai lawan kami nanti.”

Beliau bagaimanapun berkata mereka tidak akan memandang rendah dengan keupayaan pasukan lawan kerana mereka adalah sebuah pasukan yang berada di ranking lebih tinggi dalam skuad negara.

Perlawanan menentang India sangat penting kerana skuad negara perlukan kemenangan sekiranya mahu mengharungi dua perlawanan pada kalendar FIFA kali ini selepas pasukan Palestin terpaksa menarik diri dari kejohanan dek konflik yang sedang berlaku di negara tersebut.

Susulan penarikkan diri Palestin, Tajikistan mendapat ‘bye’ dan akan menunggu pemenang di antara perlawanan Malaysia dan India.