Igor Stimac akui pasukan Malaysia kini lebih bagus dengan kehadiran pemain warisan dan naturalisasi
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan India, Igor Stimac memberitahu yang mereka tidak boleh ambil mudah pada perlawanan menentang Malaysia esok kerana pasukan itu sudah memperlihatkan peningkatan yang cukup memberangsangkan sejak kebelakangan ini.
Menurut Stimac, selain mempunyai ketua jurulatih yang berpengalaman, pasukan lawan turut mempunyai pemain warisan dan naturalisasi yang bagus.
“Ya saya sedikit cemburu dengan Malaysia kerana dengan apa yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang mana anda (Malaysia) menggunakan tools yang ada untuk tingkatkan kualiti pasukan kebangsaan.
Anda mempunyai ramai pemain warisan yang mempunyai pengalaman luar dan anda juga menggunakan pemain naturalisasi yang membantu pemain-pemain lain untuk berkembang,”
katanya.
Memperlihatkan hasil yang positif, Stimac berkata pihaknya kini juga sedang dalam perancangan untuk ke arah itu iaitu bagi membantu perkembangan pasukan kebangsaan.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka 2023 menentang Malaysia esok, Stimac mahu lakukan kejutan sekaligus mahu memperbaiki rekod mereka pada kejohanan itu.
“Kami tahu pentingnya kejohanan ini dan akan kami akan buat yang terbaik untuk cuba menang kejohanan ini.”
Stimac bagaimanapun berkata beliau dan barisan kejurulatihan akan memantau pemain-pemainnya bagi memastikan hanya pemain cergas sepenuhnya sahaja akan diturunkan dan enggan mengambil risiko menurunkan pemain yang mengalami kecederaan walaupun ia kecederaan kecil kerana mereka mempunyai misi lebih penting iaitu pada November depan bagi mengharungi kelayakan Piala Dunia 2026.
Sementara itu, ketua pasukan India, Anwar Ali pula mengakui tidak mengetahui dengan lebih mendalam mengenai pasukan lawan tetapi sedar dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan ketika ini.
“Saya tidak tahu sangat dengan pasukan lawan tapi saya sedar mereka kini berada dalam prestasi terbaik, namun saya juga yakin dengan kemampuan pasukan kami.
Kami akan memberikan 100% komitmen bagi memastikan kami dapat menang pada perlawanan esok.”