Aspek teknikal ini secara perlahan-perlahan akan datang dalam diri pemain – Mohd Aliff
Jurulatih pasukan AMD Future B-13 tahun, Mohd Aliff menyifatkan pemain bola sepak di peringkat pembangunan perlu dilatih dan dinilai komitmen serta perwatakan mereka yang ditonjolkan sewaktu di atas padang.
Aliff yang ditemui memberitahu aspek teknikal akan dipelajari oleh pemain dari semasa ke semasa namun komitmen serta perwatakan para pemain tersebut yang perlu difokuskan sebagai contoh bagaimana mereka mengembalikan moral pasukan yang jatuh disebabkan gol pihak lawan.
“Apa yang penting dalam pembangunan bakat muda ini pemain perlu berikan komitmen sepenuhnya karakter di atas padang apabila dibolosi tidak putus asa itu yang kita mahu nilai dan dari aspek teknikal ini secara perlahan-perlahan akan datang dalam diri pemain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Melihat pasukannya kalah tiga kali berturut-turut dalam saingan Piala Supermokh 2023, Aliff tidak memandang ini sebagai satu masalah namun beliau akui tekanan perlu diberikan kepada para pemain sejak peringkat awal supaya mereka lebih fokus apabila bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kita tidak risau tetapi dalam pada masa sama tekanan perlu diberikan kepada pemain kerana ini perlawanan antarabangsa jika kita terlepas peluang sudah pasti kemudiannya kita akan dihukum dengan jaringan gol dari pihak lawan,”
Meskipun kalah namun AMD Future B-13 sememangnya memberikan saingan yang baik kepada pasukan lawan apabila banyak peluang yang diraih namun penyudah di hadapan gol tidak dapat diterjemahkan oleh barisan pemain mereka.
Aliff memberitahu segala keputusan dalam saingan kali ini tidak menjadi isu kerana setiap keputusan yang diambil oleh pemain di atas padang merupakan isi yang sebenarnya ingin dinilai oleh barisan jurulatih AMD sendiri.
“Sebenarnya daripada perlawanan pertama kita sudah cipta banyak peluang tetapi penyudah tumpul mungkin ini disebabkan faktor fizikal tetapi setiap keputusan yang dibuat oleh mereka di atas padang itu yang sebenarnya kami jurulatih ingin lihat dan nilai.”