Intan Serah dan Steffi selalu pesan sebagai pemain perlu kekal rendah diri – Najwa Irdina
Pemain muda bola sepak wanita negara, Najwa Irdina akui pesanan daripada pemain senior seperti Intan Serah dan Steffi banyak mengajarnya untuk sentiasa rendah diri bagi menjadi pemain yang disegani.
Najwa atau lebih mesra dipanggil Wawa memberitahu bahawa Intan Serah dan Steffi antara pemain senior yang menjadi tonggak inspirasi buat dirinya dalam melayari karier bola sepaknya.
“Mereka ada berpesan kepada saya apabila sudah berada di atas akan ramai yang mempunyai harapan yang tinggi terhadap kita tetapi kita sebagai pemain perlu kekal rendah diri,”
katanya kepada Harimau Malaya
Disebalik pesanan tersebut, Wawa yang sudah bermain bersama kedua-dua pemain berpengalaman tersebut di pelbagai peringkat menyifatkan beliau perlu lebih berusaha dari sudut teknikal dan fizikal untuk berada setaraf dengan mereka.
“Bagi saya, saya kena tingkatkan dari segi fizikal dan teknikal kerana jika tidak berubah saya tidak akan dapat capai tahap mereka,”
“Jika saya tidak belajar dari mereka juga akan menyebabkan saya jauh daripada setaraf dengan mereka,”
Menjadi antara pemain termuda dalam pasukan senior bola sepak wanita, Wawa turut berterima kasih kepada jurulatih skuad Malayan Tigress iaitu Soleen Al Zoubi yang memberikannya peluang dan ruang untuk bermain bersama pemain-pemain yang berpengalaman.
“Saya sangat berterima kasih kepada coach Soleen atas kepercayaan yang diberikan meskipun saya masih muda dan saya akan tetap berikan persembahan yang baik meskipun beliau memang akan mainkan tetapi saya juga tidak akan ambil kesempatan atas kebaikkannya,”
Beliau yang dipanggil beraksi bersama skuad Malayan Tigress baru-baru ini di Arab Saudi menyifatkan sudah terlihat kelainan dalam corak permainan dan fizikal pemain akibat daripada menyertai Liga Wanita Nasional 2023.
“Dah banyak berubah dalam pasukan negara dari segi fizikal dan lain-lain sejak ada LWN ini jadi saya rasa pasukan kita boleh banyak lagi berubah dan ada kemajuan.”