Final dengan Tajikistan bukan perlawanan balas dendam tapi untuk mantapkan pasukan lagi – Faisal Halim

429

Pemain sensasi pasukan kebangsaan, Faisal Halim tidak menganggap perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan sebagai perlawanan balas dendam atas kekalahan pada perlawanan akhir King’s Cup Thailand tahun lalu.

Menurut Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey berkata perlawanan akhir nanti adalah untuk mereka mantapkan lagi pasukan bagi mempersiap pasukan sebelum menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 tahun depan.


“Pada saya perlawanan akhir nanti menentang Tajikistan bukan satu perlawanan untuk balas dendam tapi satu perlawanan untuk kita kejapkan lagi pasukan kita dan bermain di tempat sendiri pastinya kita mahu menang.

Jadi saya juga berharap pada perlawanan akhir nanti kesemua pemain berada dalam tahap terbaik dan semuanya berjalan lancar mengikut taktikal ketua jurulatih,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mickey pada masa sama turut mengakui berdebar menanti perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 17 Oktober ini berikutan jangkaan menggunung penyokong.

“Makin berdebar pula saya rasa sebab kita main di home dengan expectation tu tinggi jadi sudah tentu kita perlu menang.”

Dalam pada itu, Mickey turut memberitahu beliau cergas untuk diturunkan pada perlawanan akhir nanti dan bebas dari kecederaan walaupun dikeluarkan dalam keadaan terhincut-hincut.

Pada perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka malam tadi, skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya menewaskan India 4-2 dalam perlawanan yang cukup dramatik.

Sementara itu, beliau turut tidak merungut mengenai kualiti padang baru yang terjejas teruk sepanjang tempoh perlawanan.

“Padang baru kita tahu masih belum 100% dalam keadaan baik tapi kita dapat padang macam ini kita cukup seronok dan bangga dari padang sebelum ini.

Walaupun ada terkeluar-keluar, tapi semua berjalan dengan lancar. Kita tahu situasi padang macam mana, jadi kita tak boleh salahkan padang kerana kita perlukan masa lagi untuk padang tapi Alhamdulillah semua pemain gembira.”