Kita dah jangka keadaan padang macam ini, ia benda biasa – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon sudah menjangkakan keadaan padang yang tidak begitu baik pada perlawanan bertemu India malam ini.
Katanya, mereka sudah menggunakan padang itu ketika sesi latihan sebelum ini dan perkara sama berlaku, tetapi menegaskan bahawa ia memerlukan masa untuk matang.
“Perkara ini biasa, padang baru memang memerlukan masa dan kita sudah jangka keadaan padang malam ini kerana semalam ketika sesi latihan ia berlaku.
Saya mahu ucapkan terima kasih kepada TMJ kerana sediakan padang yang cantik ini dan kepada kerajaan kerana ambil tanggungjawab menyokong usaha ini,”
katanya.
Beliau yakin keadaan padang itu akan menjadi baik dari masa ke masa dan berharap ia akan menjadi salah satu padang terbaik di rantau ini.
Pan-gon berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan menentang India pada Pestabola Merdeka 2023 yang menyaksikan Malaysia menang 4-2.
Dalam pada itu, beliau berkata akan memperbaiki beberapa aspek termasuklah bahagian pertahanan dan mahu membalas dendam terhadap Taijikistan di atas kekalahan King’s Cup tahun lalu.
“Perlawanan hari ini sukar, mereka mungkin boleh jaringkan tiga atau empat gol, kita cuba untuk perbaiki perkara ini juga, tetapi jangan hanya tengok bolos sahaja.
Saya boleh letakkan banyak pemain di bahagian pertahanan tetapi kita ambil risiko untuk beri perlawanan yang menghiburkan kepada penyokong, kalau tak mahu kita bolos setiap perlawanan saya boleh saja buat dengan letakkan ramai pemain di gol.”
Pan-gon berkata, kemenangan ini menunjukkan bahawa Malaysia boleh bersaing dengan pasukan yang berada di tangga 100.
Beliau gembira dengan usaha pemain serta menghargai sokongan yang diberikan oleh hampir 50,000 penyokong.