Stadium cantik, fasiliti baik, padang teruk – Igor Stimac

1,983

Ketua jurulatih India, Igor Stimac menyelar layanan yang diberikan terhadap pasukannya sepanjang berada di Malaysia untuk kejohanan Pestabola Merdeka 2023.

Beliau berkata, dengan reputasi Pestabola Merdeka sebagai salah satu kejohanan paling bersejarah di Asia, pihak penganjur sepatutnya memberikan layanan lebih baik kepada pasukan lawan.


“Pasukan lawan tidak diberikan padang yang baik untuk berlatih, kami juga harus menempuhi perjalanan sejauh sejam setengah setiap hari untuk ke padang latihan.

Selain itu, lokasi padang latihan juga berubah-ubah setiap hari, jadi perkara-perkata kecil seperti ini sepatutnya tidak berlaku kepada kejohanan yang baik seperti ini,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan menentang Malaysia yang menyaksikan pasukannya tewas 4-2 sebentar tadi.

Stimac turut merungut tentang keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan menyifatkan ia sebagai “stadium yang cantik, fasiliti yang baik tetapi padang yang teruk”.

Katanya, keadaan padang pada malam ini mengganggu permainan dan juga menyebabkan pemain risau akan risiko kecederaan.

Beliau juga turut percaya bahawa pasukannya sepatutnya telah diberikan gol ketiga kerana bola sudah melepasi garisan.

“Tiada sebab untuk saya tidak percaya bahawa pemain serta jurulatih saya yang berada di belakang gol ketika itu melihat bola sudah melintasi garisan gol.

Saya boleh cakap banyak tentang keputusan pengadil pada malam ini tetapi saya tak mahu rosakkan kegembiraan anda.”

Beliau juga mengakui bahawa anak-anak buahnya banyak melakukan kesilapan dari segi membuat keputusan, menyebabkan mereka mensia-siakan beberapa peluang untuk menjaringkan gol.