Pestabola Merdeka adalah kejohanan kita, jadi kita perlu julang trofi – Matt Davies
Ketua pasukan kebangsaan, Matthew Davies memberitahu bahawa beliau dan rakan sepasukan perlu memastikan mereka berjaya menang dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 apabila akan menentang Tajikistan di perlawanan akhir pada 17 Oktober ini.
Menurut Matt, mereka tidak sanggup untuk melihat pasukan lain yang membawa pulang trofi kejohanan itu di hadapan penyokong sendiri.
“Sudah semestinya fokus kami adalah untuk menang kerana ini adalah kejohanan kita, kita tahu sejarah disebalik kejohanan ini.
Jadi kita tidak mahu pasukan dari negara lain datang dan menang dari kami di stadium dan di hadapan penyokong sendiri,”
katanya.
Matt berkata demikian selepas berjaya membantu pasukan menang 4-2 menentang India dalam perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata walaupun mereka berjaya menang dengan selesa namun beliau berkata masih banyak perkara yang boleh diperbaiki lagi.
“Ia keputusan yang bagus untuk kami tapi masih ada perkara yang boleh diperbaiki terutamanya di bahagian pertahan yang mana saya rasa kita patut lebih baik selepas melepaskan dua gol mudah.
Tapi apa yang penting adalah kita berjaya memperoleh kemenangan 4-2. Tidak dapat dinafikan kami dapat merasai tekanan beraksi di tempat sendiri dengan padang baru.”
Beliau pada masa sama turut teruja dapat kembali bermain di SNBJ dihadapan hampir 50,000 penyokong setelah sekian lama.