Situasi di King’s Cup kembali berulang pada perlawanan malam tadi – Sandesh Jhingan

347

Pemain pertahanan pasukan kebansaan India, Sandesh Jhingan kesal apabila situasi di kejohanan King’s Cup Thailand kembali berulang kepada mereka pada perlawanan Pestabola Merdeka 2023 menentang Malaysia malam tadi yang menyaksikan mereka tewas 4-2.

“Saya tidak mahu merungut banyak tapi beberapa keputusan pengadil bagi kami tidak tepat dan situasi ini berlaku ketika kejohanan King’s Cup Thailand pada perlawanan menentang Iraq dan hari ini situasi sama berlaku lagi.

Bola dengan jelas sudah melepasi garisan gol untuk gol ketiga kami dan penalti yang diberikan kepada Malaysia juga soft. Walaupun ia tampak remeh tapi sejujurnya ia adalah keputusan yang mengubah perlawanan,”

katanya.

Jhingan berkata mereka akan jadikan perlawanan malam tadi sebagai pengajaran yang cukup berguna untuk mereka bagi mempersiapkan pasukan yang lebih mantap menjelang kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023.


Beliau pada masa sama enggan mengulas lanjut mengenai keadaan padang yang cukup teruk pada perlawanan malam tadi yang mendapat kritikan hebat daripada banyak pihak termasuk ketua jurulatih India sendiri iaitu Igor Stimac.

“Saya enggan komen lebih mengenai padang, tapi dengan keadaan padang seperti itu sukar untuk kami bermain dengan corak permainan sebenar kami. Jika anda tahu corak permainan kami, kami sentiasa bermain secara possession tapi malangnya kami tidak dapat bermain seperti biasa.

Bagaimanapun kami tidak boleh merungut kerana sedar ia adalah padang baru.”

Dalam pada itu, beliau turut memuji suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang cukup meriah dengan kehadiran hampir 50,000 penyokong.

“Ia suasana yang cukup menakjubkan tapi datang ke Stadium Salt Lake atau Stadium Kochi, kami akan cuba beri suasana yang hebat juga.

Kami sangat enjoy dengan suasana stadium seperti ini kerana sebagai atlet anda pastinya mahu beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong.”