Sunil Chhetri akur dengan keputusan pengadil walaupun jelas bola sudah lepas garisan gol
Pemain bintang yang juga ketua pasukan kebangsaan India, Sunil Chhetri mengakui terpaksa akur dengan keputusan pengadil untuk tidak memberikan gol kepada pasukannya walaupun bola sudah melepasi garisan gol.
Menurut Chhetri, beliau berada cukup dekat dengan gawang Malaysia dan melihat sendiri bola sudah melepasi garisan gol untuk gol ketiga tetapi dinafikan.
“Memang jelas gol dan saya berani cakap kerana saya berada di situ. Saya bertanya kepada penolong pengadil dan beliau beritahu tidak pasti dan apabila pengadil tanya jawapan sama diberikan, pengadil mengambil keputusan untuk tidak memberikan gol kepada kami,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas India tewas 4-2 kepada Malaysia dalam perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.
Dalam pada itu, pemain berusia 39 tahun itu berkata sekiranya gol ketiga India diberikan, pastinya keputusan perlawanan akan menjadi berbeza.
“Ya, ketika kedudukan 3-2 dan jika gol ketiga disahkan pastinya perlawanan akan jadi lain, tapi kami gagal bertahan dengan baik dan melepaskan gol keempat dan kami perlu salahkan diri sendiri.”
Tambahnya lagi, walaupun mereka berjaya mendominasi perlawanan pada separuh masa kedua, namun gol keempat Malaysia telah ‘membunuh’ mereka.
Beliau bagaimanapun berkata perlawanan menentang Harimau Malaya akan dijadikan sebagai pengajaran buat mereka untuk memperbaiki segala kelemahan menjelang kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023 nanti.