Kami tidak boleh gunakan intensiti dalam perlawanan atas faktor kepenatan disebabkan cuaca panas – Ante Bekavac

272

Jurulatih pasukan NK Osijek B14, Ante Bekavac akui pemainnya baru dapat bermain dengan sangat baik pada hari terakhir selepas gagal untuk beradaptasi dengan cuaca yang panas terik sejak hari pertama mereka berkampung di AMD, Gambang, Pahang ini.

Ante yang ditemui memberitahu mereka memerlukan tiga hari untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas sehingga tidak mampu menampilkan corak permainan yang berintensiti tinggi disebabkan faktor kepenatan.


“Untuk kami cabaran paling besar adalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca yang mana kami perlukan dua hari untuk sesuaikan diri dengan cuaca yang sangat panas dan hari ini baru kami dapat bermain dengan sangat baik,”

“Kami tidak boleh gunakan intensiti dalam perlawanan dan itu masalahnya namun ini merupakan pengaman yang baik buat kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain daripada cuaca yang panas, Ante meluahkan rasa terujanya dapat menyertai Supermokh 2023 disebabkan wujud pasukan-pasukan yang mempunyai pelbagai corak perlawanan sekaligus memberikan ilmu baru buat mereka membaiki kelemahan pasukan.

“Semuanya terbaik dalam kejohanan kali ini, setiap perlawanan sangat kuat dan berintensiti tinggi yang menjadikan edisi kali ini memberikan pengalaman yang berharga buat kami,”

Ante melihat pemain-pemain di Malaysia mampu bersaing di peringkat Eropah sekiranya para pemain mempunyai keinginan yang kuat untuk menang sesuatu perlawanan kerana hanya aspek itu sahaja yang kini membezakan bola sepak di Malaysia dan Eropah.

“Pemain mereka sangat laju, bagus dengan bola, pandai menggelecek dan cemerlang saat satu lawan satu namun untuk berjaya bersaing di Eropah mereka perlu ada semangat yang tinggi untuk menang tetapi saya kagum kerana bola sepak di Malaysia semakin baik dari tahun ke tahun.”