Saya layak untuk pergi lebih jauh namun sekarang agak lain – Kaseh Carmila Azzahra
Penyerang pasukan bola sepak wanita Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Kaseh Carmila Azzahra akui isu dalaman yang melibatkan pemilihan pemain di skuad kebangsaan menyebabkan ada pemain yang cemerlang namun tidak dipilih disebabkan kurang populariti.
Menurut Kaseh, pemilihan pemain dalam skuad kebangsaan sudah semakin berbeza dimana peringkat tertinggi lebih memilih pemain-pemain yang mempunyai populariti tinggi berbanding pemain yang berprestasi tinggi.
“Setiap orang mesti ada keinginan untuk pergi jauh dan saya rasa layak untuk pergi lebih jauh namun sekarang agak lain kerana mereka akan lebih memilih pemain-pemain yang terkenal berbanding saya walaupun sekarang adalah penjaring terbanyak di LWN,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kaseh yang kini berada di persada carta penjaring terbanyak liga melihat ini merupakan peluang buat dirinya untuk mencuba posisi baru sekaligus melatih dirinya untuk menjadi pemain yang versatil.
Meskipun baru sahaja dipilih untuk bermain di posisi penyerang, beliau tampak sudah semakin selesa dan berjaya untuk menjaringkan gol demi gol dalam setiap perlawanan.
“ini merupakan kejohanan tempatan pertama yang saya bermain sebagai penyeran yang mana sebelum ini saya merupakan pemain sayap dan kini saya sudah menjaringkan empat gol,”
“Bagi saya semua posisi prinsipnya sama sahaja tetapi sebagai pemain kita perlu mahir dalam banyak posisi dan menjadi pemain yang versatil,”
Jurulatih pasukan SSMP, Kok Keng Lim turut memuji Kaseh yang mengambil peluang untuk mencuba posisi baru di atas kehilangan penyerang utama mereka akibat kecedaran.
“Kita kehilangan penyerang utama dan terpaksa membuat rombakan semula dalam pada masa sama saya gembiran kerana Mila ambil ini sebagai peluang buat bermain di posisi yang lain,”
“Selain itu saya juga gembira dengan sumbangan beliau yang mana sudah berjaya menjaringkan empat gol dan ini merupakan peluang buat dirinya serta siapa tahu satu hari nanti beliau akan bermain sebagai penyerang negara,”
Namun dalam pada masa sama meskipun berjaya mengikat pendahulu liga, Kok Kek Lim turut meluahkan rasa sedikit kecewa kerana pasukannya gagal memanfaatkan beraksi di tempat lawan sekaligus sekadar berpuas hati dengan satu mata.
“Kami punya sasaran untuk separuh kedua liga ini memang mahu menang kesemua perlawanan namun apabila melihat kepada perlawanan tadi kita dapat satu mata dan jika diikutkan bermain di tempat sendiri agak rugi kerana kedudukan tempat pertama sehingga ketiga jaraknya sangat rapat.”