Sambutan kejohanan Pushbike Mania 2023 dapat sambutan luar biasa
Hari Sukan Negara (HSN) telah dianjurkan secara besar-besaran di Putrajaya melibatkan pelbagai jenis sukan termasuk Pushbike Mania 2023 yang mendapat sambutan yang cukup luar biasa daripada peserta.
Menurut penganjur Pusbike Mania, Mohd Fazli Adnan atau lebih dikenali sebagai Madrock, kejohanan kali ini disertai oleh lebih 200 peserta termasuk dari Terengganu dan Kedah.
“Untuk kejohanan Pushbike Mania hari ini kita ada enam kategori iaitu dua tahun, tiga tahun, empat tahun, lima tahun dan open boy serta open girl.
Jadi hari ini kita ada lebih kurang 200 peserta dari pelbagai negeri termasuk paling jauh dari Terengganu dan Kedah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Madrock yang juga merupakan pengasas KL Rocket Team berkata pihaknya adalah antara yang berusaha untuk besarkan lagi komuniti pushbike di Malaysia.
Tambahnya lagi, KL Rocket Team sendiri mempunyai beberapa pusat latihan pushbike di Lembah Klang iaitu di Sri Kembangan, Ampang dan juga Klang.
“Kita sedang cuba besarkan komuniti di Malaysia oleh sebab itu setiap kali acara yang kita buat kita akan dapat sekurang-kurangnya 200-300 penyertaan.”
Dalam pada itu, Madrock juga berkata KL Rocket Team tidak hanya terhad kepada pushbike sahaja kerana apabila ahli mereka sudah berusia tujuh tahun ke atas, mereka akan ke sukan lain pula.
“Di KL Rocket Team sendiri apabila mereka sudah berusia tujuh ke lapan tahun mereka akan beralih ke sukan-sukan lain seperti BMX, Mountain Bike, Downhill, Motocross dan banyak lagi.”
Tidak hanya sekadar melatih pushbike, KL Rocket Team bertindak untuk melatih kanak-kanak ini untuk menjadi pelapis-pelapis atlet Malaysia.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa sukan pushbike ini bukan sukan untuk golongan anak orang berada sebaliknya ia adalah sukan mampu milik yang boleh disertai oleh mana-mana kanak-kanak yang berminat.
Beliau juga menyeru ibu bapa yang berminat untuk melibatkan anak mereka dalam sukan pushbike terutamanya yang berada di Lembah Klang boleh menghubungi pihak KL Rocket Team.
“Ibu bapa yang ingin mahu anak mereka sertai sukan ini boleh pergi ke Facebook KL Rocket Team atau pasukan-pasukan lain bagi yang berada di luar Lembah Klang.”