Petar Segrt terkejut Malaysia tak mampu benam skuad B-21 Tajikistan
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tajikistan, Petar Segrt mengakui beliau terkejut apabila pasukan kebangsaan Malaysia tidak mampu menewaskan pasukannya yang dianggapnya skuad B-21.
Segrt berkata demikian selepas Tajikistan berjaya membenam skuad Harimau Malaya 2-0 dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
“Saya hanya boleh berkata yang pasukan Malaysia mempunyai banyak peluang dan perlu menyempurnakannya.
Saya rasa anda boleh lihat perbezaannya tapi pasukan Malaysia masih tak mampu dengan pasukan B-21 Tajikistan dan ini membuatkan saya sedikit terkejut,”
katanya.
Beliau pada masa sama menganggap perlawanan akhir tadi sekadar perlawanan untuk persediaan ke Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024.
Tambahnya lagi, keutamaan pasukan Tajikistan adalah kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023.
Dalam pada itu, pengendali dari Croatia itu juga memuji persembahan yang dipamerkan oleh penjaga golnya iaitu Barotov Daler yang merupakan penjaga gol ketiga pasukan.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada jurulatih penjaga gol yang cukup hebat kerana penjaga gol yang diturunkan merupakan penjaga gol ketiga.”
Sementara itu, beliau turut berkata ketua jurulatih sepatutnya tidak bercakap terlalu besar sebelum perlawanan.
“Saya rasa semua orang tidak menjangka yang kita akan menang dan seperti yang saya cakap semalam ketua jurulatih tidak sepatutnya bercakap besar di sidang media kerana anda perlu tunjukkan di atas padang.
Mana jurulatih yang sering bercakap menang-menang, taktikal dan karakter. Kita sebagai jurulatih perlu menghormati antara satu sama lain.”