Goodluck untuk Malaysia di kelayakan Piala Dunia 2026 nanti – Amirbek Juraboev

802

Pemain tengah sensasi Tajikistan, Amirbek Juraboev gembira apabila berjaya membantu pasukannya menjulang Piala Merdeka 2023 selepas berjaya membenam Malaysia 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi.

Amirbek turut memuji pemain-pemain muda Tajikistan yang berjaya mempamerkan aksi yang cukup mantap sepanjang tempoh 90 minit permainan walaupun berdepan kesukaran bermain di tempat lawan.


“Sudah semestinya sukar untuk kami kerana bermain di tempat lawan dan di hadapan puluhan ribu penyokong, tambahan kami bermain dengan ramai pemain muda yang mana ia bagus untuk kami dapat pengalaman.

Goodluck untuk Malaysia di kelayakan Piala Dunia 2026 nanti,”

katanya.

Tambah pemain import Kedah Darul Aman FC itu lagi, biarpun berdepan dengan pasukan yang mempunyai pemain berkualiti, namun kata-kata semangat ketua jurulatih Petar Segrt membuatkan pemain masuk ke padang dengan keyakinan tinggi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pengalaman beraksi di Liga Super Malaysia sedikit sebanyak memberi kelebihan buat beliau kerana beliau mengetahui pemain-pemain pasukan lawan.

“Sudah pasti saya pernah menentang pemain-pemain ini dalam saingan liga yang mana kesemua pemain ini berkualiti dan berpengalaman tapi kita juga mempunyai pemain muda yang berkualiti.”

Sementara itu, Amirbek turut menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan mutu pengadilan yang dilihat seperti berat sebelah.

“Bagi padangan saya apabila bola 50-50 pengadil lebih cenderung beri kelebihan kepada pemain Malaysia tapi bagi saya tiada masalah.”