Dalam bola sepak kadang-kadang bola itu memang tak nak masuk gol – Stuart Wilkin
Pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkin mengakui pemain berasa kecewa dan hampa selepas tewas kepada Taijikistan pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 sebentar tadi.
Katanya, Malaysia tidak bernasib baik gagal menjaringkan gol walaupun mendominasi perlawanan.
“Kita memang kecewa, semua orang agak hampa sekarang ini dan akan ada cakap-cakap mengenai kekalahan ini tentang apa yang silap.
Kita juga boleh lihat kepada perkara positif pada hari ini, semua orang lihat kita mendominasi perlawanan, kadang-kadang dalam bola sepak memang bola itu tak nak masuk dalam gol,”
katanya.
Beliau meminta maaf kepada penyokong kerana tidak berjaya menghadiahkan trofi di gelanggang sendiri, namun menegaskan bahawa satu pasukan sudah melakukan yang terbaik.
Tambahnya, mereka harus bangkit daripada kekalahan ini dan memperbaiki apa yang perlu menjelang kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan bermula November ini.
“Kita tahu kita bermain di rumah kita dan kita nak angkat trofi, pastinya ia sesuatu yang mengecewakan buat semua orang.
Namun, kita harus bangkit untuk kelayakan Piala Dunia nanti dan lihat di mana aspek yang kiat bagus dan juga di mana aspek yang kita perlu perbaiki.”