Daeng Abdul Rahman kejar kejuaraan kedua Alphard Cup di KSGCC

177

Pemain golf profesional negara, Daeng Abdul Rahman berpuas hati dengan permainannya pada hari kedua Alphard Cup 2023 di Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC) selepas menamatkan hari kedua dengan dua di bawah par untuk mengumpul lima pukulan di bawah par selepas hari kedua.

Menurut Daeng, biarpun kurang sihat tetapi beliau gembira dengan prestasinya kerana dapat bermain dengan baik sekaligus menamatkan ‘badi’ di KSGCC.


“Untuk hari ini saya berpuas hati dengan kejohanan di KSGCC sebab sebelum ini saya tidak pernah main bagus sebenarnya di sini, jadi dua hari lima di bawah par saya sangat puas hati.

Cuaca panas dengan saya sakit tekak jadi hari ini sedikit mencabar buat saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Daeng kini berada di kedudukan kelima berkongsi kedudukan dengan dua lagi pemain iaitu Galven Green dan Paul San dengan skor yang sama.

Beliau pada masa sama turut berpuas hati dengan kondisi padang golf yang berada dalam keadaan cukup baik berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, menjelang aksi hari ketiga esok Daeng berharap beliau dapat mengurangkan dari melakukan kesilapan untuk memastikan beliau dapat bermain dengan baik untuk mengejar Khor Kheng Hwai yang mendahului dengan kelebihan tiga pukulan.

“Dalam golf ini apa sahaja boleh berlaku, oleh itu untuk esok saya harap dapat kurangkan buat kesilapan dan pastikan dapat banyak birdie untuk kejar pendahulu yang hanya berkelebihan tiga pukulan.”

Daeng kini berada pada prestasi terbaik selepas berjaya menamatkan kemarau kejohanan apabila berjaya menjuarai Camry Cup 2023 di Forest City Golf Resort, Johor baru-baru ini.