Syahiran Syakir intai peluang untuk rangkul kejuaraan pertamanya di Alphard Cup
Pemain golf profesional negara, Syahiran Syakir telah mempamerkan aksi yang cukup menakjubkan apabila mencatat skor terendah dengan 66 pukulan pada hari kedua Alphard Cup 2023 sekaligus melonjakkan dirinya ke kedudukan Top 3.
“Secara keseluruhan hari ini adalah hari yang cukup baik buat saya kerana saya banyak buat pukul ke fairway, green dan banyak putting yang baik.
Disebalik aksi yang agak baik hari ini, pada lubang ke 15 saya ada buat kesilapan apabila buat pukulan shank tapi bernasib baik apabila dapat menamatkan lubang tersebut dengan bogey,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dengan skor 66, Syahiran menamatkan hari kedua dengan enam pukul di bawah par sekaligus memperbaiki skor pada hari pertama apabila hanya sekadar bermain par sahaja.
Ketinggalan dengan hanya dua pukulan dibelakang pendahulu Khor Kheng Hwai, Syahiran berharap beliau dapat meneruskan momentum pada hari terakhir kejohanan untuk cuba merangkul kejuaraan profesional pertamanya.
“Saya tiada apa yang rugi, jadi saya akan bermain seperti biasa dan akan enjoy sepanjang 18 lubang esok.”
Tambahnya lagi, kondisi padang yang berada dalam keadaan yang baik juga banyak membantu permainannya hari ini.
Syahiran memberitahu bahawa tahun ini merupakan tahun keduanya sebagai pemain golf profesional.
Dalam pada itu, selain jelajah tempatan beliau juga kini sedang dalam usaha untuk beraksi di jelajah negara jiran Thailand yang mempunyai jelajah golf yang cukup kompetitif di rantau Asia Tenggara.
“Saya mungkin tidak akan bermain pada kejohanan terakhir kerana saya akan bermain di All Thailand Q School kerana ia adalah untuk masa depan saya sendiri.
Ini kerana semua tahu Thailand tidak hanya mempunyai ramai pemain profesional yang berkualiti, tetapi mereka juga mempunyai banyak kejohanan dan hadiah juga lebih besar.”
Pemain berasal dari Kedah itu kini berada di ranking ke-23 Toyota Tour 2023 selepas lapan kejohanan yang disertai dengan berjaya mengumpul wang hadiah berjumlah RM16,367.80.