Saya mahu pemain Malaysian University dapat peluang main dengan pasukan kebangsaan – Fairuz Abdul Aziz
Ketua jurulatih pasukan bola sepak Malaysian University, Fairuz Abdul Aziz mahu membantu para pemainnya sehingga mereka mendapat peluang untuk bermain bersama pasukan kebangsaan.
Beliau berkata, pemain-pemain dalam pasukan itu mempunyai potensi untuk menyarung jersi kebangsaan, justeru beliau akan memberi mereka peluang membuktikan kemampuan mereka.
“Selagi boleh saya nak bagi semua dapatkan pengalaman bermain, saya mahu mereka rasa intensiti permainan itu.
Secara peribadi, saya ingin mereka dapat peluang untuk ke peringkat seterusnya, mereka ada peluang untuk bermain dengan pasukan kebangsaan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Fairuz berkata demikian selepas pasukannya menewaskan Selangor FC 2-0 dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 sebentar tadi.
Beliau melihat para pemainnya kini menunjukkan peningkatan yang baik dan memberi kredit kepada staf kejurulatihan serta pegawai lain dalam skuad itu.
Tambahnya, beliau mahu meningkatkan lagi kemahiran individu pemain supaya pemain-pemain gantian mempunyai tahap yang sama dengan kesebelasan utama.
“Kita tak boleh nak ubah banyak sangat cuma saya mahu perbaiki dari segi kemahiran individu.
Maknanya apabila pemain gantian masuk, tahap permainan masih akan sama dan tiada jurang perbezaan, sekarang ini kita dapat lihat jurang itu ada sikit tetapi ada masa lagi kita boleh usahakan.”
Beliau mahu pasukannya meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan berikutnya menentang Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).