Matt Davies kongsi mesej ‘Merdeka Palestin’, contoh baik buat pemain lain tingkatkan kesedaran isu kemanusiaan
Serangan yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin ketika ini mendapat perhatian meluas oleh dunia, dengan kebanyakan selebriti menunjukkan sokongan mereka terhadap salah satu negara itu di media sosial mereka.
Tidak lupa juga dunia bola sepak yang menyaksikan ramai pemain turut menunjukkan sokongan mereka terhadap sama ada Palestina tau Israel di media sosial mereka.
Namun, terdapat beberapa pemain yang telah digantung oleh kelab mereka gara-gara menunjukkan sokongan terhadap Palestin seperti pemain Nice, Youcef Atal, pemain Mainz, Anwar El Ghazi dan pemain Bayern Munich, Noussair Mazraoui.
Di Malaysia, pemain kebangsaan, Matthew Davies menyatakan solidariti bersama negara Palestin apabila memuat naik gambarnya ketika perlawanan menentang Tajikistan tempoh hari, yang menunjukkan latar belakang kain rentang ‘Merdeka Palestin’ yang dinaikkan oleh Ultras Malaya.
Walaupun mungkin ada yang menganggap ia sebagai satu hantaran media sosial, tetapi dengan pengaruh yang dimiliki oleh pemain itu, ia mampu memberi satu impak yang besar kepada masyarakat.
Ketika ini pun netizen di media sosial ada membangkitkan tentang pempengaruh yang berdiam diri mengenai isu yang berlaku di Gaza.
Justeru, apa yang dilakukan oleh Matthew Davies ini diharapkan akan dicontohi oleh ramai lagi pemain bola sepak tempatan supaya dapat meluaskan lagi kesedaran kepada masyarakat tentang apa yang berlaku.