Dengan pengalaman yang ada pada JDT, mereka mudah jaringkan gol – Sunday Afolabi

227

Pemain pertahanan sensasi Perak FC, Sunday Afolabi mengakui jurang pengalaman di antara pasukannya dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi faktor utama kekalahan mereka 4-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 malam tadi.

Menurut Afolabi, gol-gol yang dijaringkan oleh pasukan lawan adalah dari kesilapan yang dilakukan oleh pemain pertahanan yang mana ia dimanfaatkan oleh pemain lawan yang cukup berpengalaman.


“Apa kelebihan JDT adalah pemain-pemain mereka mempunyai pengalaman yang mana anda boleh melihat sendiri gol-gol yang dijaringkan mereka berpunca dari kesilapan kita sendiri.

Jadi dengan pengalaman luas yang mereka ada, mereka berjaya gunakan untuk jaringkan gol mudah. Mereka tidak benar-benar fight untuk gol tersebut,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Biarpun tewas, beliau tetap bangga dengan persembahan rakan sepasukan yang memberi saingan yang cukup sengit kepada pasukan juara Liga Super sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

“Kami berjaya memberi saingan kepada pasukan lawan dan kalau kita melihat kepada jumlah percubaan JDT melakukan 14 percubaan manakala kami pula melakukan 12 percubaan.

Saya rasa kami bermain dengan baik sekali dan kemenangan JDT adalah kerana pengalaman luas yang mereka ada. Saya yakin dengan masa, pemain-pemain kami juga akan mempunyai pengalaman seperti mereka nanti.”

Skuad The Bos Gaurus turun beraksi di Stadium Ipoh, Perak sebagai pasukan ‘underdog’ dek dibarisi oleh ramai pemain muda.

Namun aksi pantas dan intensiti tinggi yang dipamerkan oleh anak buah Yusri Che Lah mendapat pujian ramai peminat.

Perak selepas ini akan turun beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk perlawanan separuh akhir kedua pada 2 November ini.