Kita sebenarnya boleh tambah satu atau dua lagi gol – Esteban Solari

184

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari merasakan pasukannya sebenarnya mampu menambah lebih lagi jaringan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Perak sebentar tadi.

JDT membawa bekalan selesa 4-1 menuju ke separuh akhir kedua, dan Solari gembira pemainnya mencatatkan kemenangan itu selepas sekian lama saingan domestik berehat bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabtan antarabangsa.


“Semua pemain faham pelan dan bermain dengan sangat baik pada hari ini, kita berjaya jaringkan empat gol tetapi saya rasa kita sebenarnya boleh jaringkan satu atau dua lagi gol, tetapi ia keputusan yang adil untuk kami.

Kemenangan ini adalah penting buat kami selepas tidak bersama agak lama kerana ‘FIFA days’, selepas ini kami akan menghadapi AFC Champions League (ACL) menentang lawan yang sukar,”

katanya.

Katanya, kemenangan itu pastinya memberi keyakinan kepada pasukan menjelang aksi ACL menentang Ulsan Hyundai Selasa depan.

Walaupun memenangi perlawanan dengan keputusan yang agak selesa, beliau menganggap ia tidak mudah kerana pemain Perak memberi cabaran yang hebat kepada mereka.

“Sebelum datang ke sini, kita tahu mereka bersemangat tinggi untuk bermain kerana ini adalah perlawanan separuh akhir.

Perak adalah sebuah pasukan yang menunjukkan peningkatan dan bermain semakin baik, mereka berikan kami tekanan dan cuba letakkan kami dalam situasi yang sukar.”

Beliau memuji anak-anak buahnya yang menunjukkan kebijaksanaan mereka di atas padang dan berjaya membenam cabaran yang ditampilkan Perak.