Ultras Malaya tolak subsidi ke Qatar

637

Capo Ultras Malaya (UM), Lekir Hj. Ahmad menegaskan bahawa beliau dan komradnya akan terbang ke Doha, Qatar dengan sendiri tanpa mengambil sebarang pakej ‘Road To Doha’ bagi menyaksikan kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024.

“UM sememangnya sudah isytihar yang kita tidak akan ambil pakej ini tetapi kami tidak menolak sekiranya ada sesetengah individu yang mahu mengambil pakej ini kerana itu di luar kawalan kami.

Tapi untuk UM kita memang tak ambil pakej ini sebab kebanyakan daripada mereka sudah pun membeli tiket penerbangan dan sudah mempunyai tempat penginapan, jadi kita tidak akan terlibat secara langsung dengan pakej ini,”

katanya.

Lekir bagaimanapun menggalakkan mana-mana penyokong lain yang ingin ke sana untuk mengambil pakej ini kerana ia akan memudahkan urusan mereka di sana nanti.


Berdasarkan anggaran awal, beliau telah mengesahkan bahawa sebanyak 150 komrad akan terbang ke sana dan menyeru lebih ramai penyokong untuk ke sana bagi memastikan misi untuk mengumpul 1,000 ekor Harimau Malaya tercapai.

“Untuk pihak UM kami sudah ada kira-kira 150 dan jika tambah 300 penyokong yang ambil pakej ini kita sudah ada 450 dan seperti yang dikhabarkan oleh rakan-rakan kita di sana kita ada 500 lagi.

Bukan di Qatar sahaja, kita harapkan ramai penyokong yang berada di rantau Arab dapat turun untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan nanti.”

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Malaysia Airlines atas usaha mereka dapat merealisasikan program ‘Road To Doha’.

Program ‘Road To Doha’ yang bermula pada 21 Oktober ini akan menawarkan pakej serta tiket penerbangan pergi balik ke Doha dengan harga pakej bermula dari RM1,800 ++ hingga ke RM13,000 ++.