Harap sukan Tomoi dapat diperkenal di sekolah untuk lahirkan lebih ramai atlet berwibawa – Zulkafli
Jurulatih Kelab Muay Singa Muda, Zulkafli Mohd Yaziq berharap agar sukan Muay Thai atau lebih dikenali dengan Tomoi ini dapat diperkenalkan di sekolah-sekolah agar negara dapat melahirkan lebih ramai atlet berwibawa.
“Saya berharap Tomoi (Muay Thai) ini dimasukkan ke sekolah-sekolah untuk melahirkan atlet-atlet berwibawa dan berdaya saing.
Ini kerana kebanyakan ibu bapa kini juga semakin ramai hantar anak mereka ke gelanggang Muay Thai disebabkan disiplin tinggi yang diterapkan selain memupuk sikap hormat menghormati.
Ia juga akan membuatkan mereka mempunyai kekuatan mental dan fizikal sekaligus dapat melahirkan olahragawan dan olahragawati sekolah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Zulkafli yang juga merupakan Pengerusi Kelab Muay Singa Muda ini sudah bertapak lebih 20 tahun di Negeri Sembilan yang mana mereka telah melahirkan ramai atlet untuk negeri dan juga negara.
“Selama 22 tahun kelab ini ditubuhkan, kami sudah banyak membina dan melatih atlet-atlet Negeri Sembilan untuk menjadi atlet kebangsaan.”
Dalam pada itu, Zulkafli turut memberitahu antara kejayaan yang pernah dikecapi adalah menjadi juara kejohanan Grandslam International bagi kategori bawah 12 tahun.
Malah baru-baru ini ketika satu kejohanan Muay Thai yang berlangsung pada Hari Sukan Negara (HSN) turut menyaksikan dua atlet mereka yang menyertai kejohanan itu berjaya menjadi juara dan naib juara.
Sementara itu, bagi memastikan atlet-atlet dari negara mampu menjadi pencabar utama atlet dari Thailand, beliau telah menerapkan latihan yang intensif bagi memastikan atlet mempunyai stamina tinggi apabila bertarung dalam pusingan round robin.
“Latihan yang lebih lasak dan lebih mantap iaitu kita gabungkan fitness dengan teknik. Lebihkan kepada angkat berat, drill dan berjogging menggunakan tayar.
Kelebihan yang saya nampak pada atlet kita sekarang ini di dalam round robin, atlet-atlet perlu lebih lasak dan lebih kuat dari segi mental dan fizikal.”