Shukor Adan ada masa depan yang cerah, dia akan sumbang sesuatu kepada skuad B-23 Malaysia – Nenad Bacina
Ketua jurulatih KL City FC, Nenad Bacina optimis bahawa pembantunya, Shukor Adan akan memberi sumbangan yang besar buat pasukan B-23 kebangsaan apabila menggalas tanggungjawab sebagai pembantu ketua jurulatih.
Katanya, Shukor telah mendapat perhatiannya sejak dari tahun lalu lagi dan merasakan beliau mempunyai masa depan yang cerah.
“Saya gembira untuk Shukor, dan saya juga bangga kerana bila dia sertai barisan kejurulatihan musim lalu, saya bekerja rapat dengannya, dari awal lagi dia sudah dapat perhatian daripada saya.
Beliau sentiasa mahu belajar dan mempunyai karakter yang bagus, saya jangkakan masa depan yang cerah untuknya, saya rasa dia mampu menyumbang sesuatu kepada skuad B-23 Malaysia,”
katanya.
Shukor baru-baru ini telah dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad B-23 kebangsaan, dan akan memulakan tugas itu sejurus kontraknya bersama KL City tamat.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan separuh akhir pertama menentang Terengganu yang menyaksikan pasukannya tewas 2-1.
Mengenai saingan itu, beliau percaya perlawanan masih lagi terbuka dan pemenang akan ditentukan pada aksi timbal balik di Terengganu.
“Secara keseluruhannya memang saya tidak gembira kerana kalah, tetapi apa saya boleh katakan adalah pemenang akan ditentukan di Terengganu.
Saya harap pemain-pemain yang tidak dapat bermain pada hari ini seperti Paulo Josua dan Ryan Lambert yang digantung, serta Romel Morales yang sakit akan dapat membantu kami pada perlawanan seterusnya.”