Dulu kami tak seberapa tetapi rasanya sekarang semua sudah hormat KL City FC – Guilherme Almeida
Jurulatih penjaga gol KL City FC, Guilherme Almeida bangga menjadi sebahagian daripada pasukan KL City dan melalui pelbagai jatuh bangun bersama pasukan itu.
Katanya, sepanjang enam tahun di kelab itu, beliau pernah merasai saat naik ke Liga Super, berdepan penyingkiran daripada Liga Super dan juga menjadi sebuah pasukan yang kini semakin meningkat.
“Sudah enam tahun di sini, bagi saya ia adalah satu pengalaman yang sangat hebat, berada di kelab ketika di saat yang sukar dan membawa kelab ke Liga Super, kembali semula ke Liga Premier dan naik kembali kemudian terus konsisten hingga sekarang.
Hanya saya Paulo Josue dan Zhafri Yahya yang kekal bersama-sama sepanjang saat itu, dan bagi saya sekiranya KL City terus mahukan saya, sudah pasti saya mahu kekal kerana saya senang bekerja di sini dan juga Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jika boleh, Almeida berkata beliau mahu berada di kelab itu dalam jangka masa yang lebih panjang.
Katanya, walaupun KL City berdepan masalah tertentu, para pemain serta barisan kejurulatihan sering melaluinya bersama-sama, dan menempuhinya seperti sebuah keluarga.
Itu adalah antara punca kekuatan pasukan itu mampu tampil konsisten sehingga ke hari ini.
“Kita telah menunjukkan peningkatan yang banyak, kita layak ke tiga perlawanan akhir berturut-turut setiap tahun iaitu Piala Malaysia 2021, Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023, dan kita masih mampu layak ke Perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini.
Dulu prestasi kita tak seberapa tetapi saya rasa sekarang semua sudah mempunyai hormat kepada pasukan KL City.”
Beliau mengakui pernah mendapat beberapa tawaran di luar negara namun percaya dengan projek di KL City dan selesa berada di kelab itu.