Kami akan berjuang untuk slot Piala AFC demi penyokong – Noor Al-Rawabdeh
Pemain tengah Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh berkata beliau dan rakan sepasukannya akan berjuang habis-habisan bagi memastikan slot ke Piala AFC musim depan menjadi milik mereka demi penyokong.
“Bagi saya penyokong Selangor berhak untuk dapatkan slot ke Piala AFC kerana mereka bersama pasukan sejak dari perlawanan pertama, jadi kami akan berjuang untuk mereka dan insyaAllah kami akan dapatkan slot untuk mereka,”
katanya.
Selangor kini mempunyai baki tiga perlawanan Liga Super menentang Perak FC, Kedah Darul Aman FC dan PDRM FC yang mana mereka perlu menang ketiga-tiga perlawanan bagi memastikan slot ke Asia menjadi milik mereka.
Dalam pada itu, Noor yang merupakan pemain dari Jordan turut bersedih dengan apa yang berlaku dengan bekas rakan sepasukannya Yazan Al-Arab yang sudah lagi tidak bersama Selangor selepas insiden membabitkan dirinya baru-baru ini.
“Sejujurnya saya berasa cukup sedih kerana rasa seperti kehilangan ahli keluarga kerana saya selalu bersama Yazan dan kami akan terus memberi sokongan kepadanya.
Beliau menyesal dengan apa yang berlaku dan berharap pihak bertanggungjawab (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tidak mengenakan hukuman terlalu berat buatnya. Beliau berada dalam keadaan sukar tapi insyaAllah beliau akan okay nanti.”
Sementara itu, Noor turut menyuarakan sokongannya terhadap penduduk di Palestin yang kini menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis yang berterusan melakukan pembunuhan terhadap orang awam di negara itu.
“Saya ingin katakan kami menyokong penuh Palestin. Sangat sedih dengan apa yang berlaku di sana ketika ini.
Kita semua dapat merasai keperitan yang dihadapi oleh mereka dan kita berdoa untuk mereka dan berharap Allah akan melindungi mereka dan memberikan mereka kebebasan yang mereka layak,”
Tambahnya lagi, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk bercakap dan membantu apa yang termampu untuk melihat Palestin kembali bebas dari kecelakaan.