Allisen Corpuz sentiasa berasa istimewa apabila berada di Asia, Rose Zhang teruja kali pertama beraksi di Malaysia
Pemain golf profesional Amerika Syarikat, Allisen Corpuz mengakui beliau cukup teruja apabila dapat menyertai kejohanan Maybank Championship 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) bermula 26 hingga 29 Oktober ini.
Menurut Corpuz, beliau sentiasa mempunyai satu perasaan istimewa terhadap negara di Asia.
“Berpeluang untuk bermain dalam kejohanan baru sangat istimewa. Saya antara yang pertama berada di lapangan dan berada di Asia ia sangat istimewa buat diri saya.
Saya sentiasa cuba untuk susun jadual di mana saya tidak bermain secara berturut-turut dan tidak berehat panjang sangat jadi kejohanan ini berada pada waktu yang terbaik dalam jadual saya,”
katanya.
Tambahnya lagi, ini merupakan kali kedua beliau datang ke Malaysia, namun untuk kejohanan golf ia merupakan kali pertama.
Bercerita lanjut mengenai keadaan lapangan, Corpuz mengakui terdapat beberapa lubang yang agak panjang namun ia tidak menjadi masalah buat dirinya kerana pemain lain turut akan berdepan situasi yang sama.
Dalam pada itu, seorang lagi pemain golf profesional dari Amerika Syarikat iaitu Rose Zhang pula teruja kerana kejohanan Maybank Championship merupakan kejohanan pertamanya di Malaysia dan juga di Asia.
“Bagi saya ini merupakan pengalaman pertama saya bermain di Asia secara umumnya jadi dapat datang Malaysia buat pertama kali. Rakan dan keluarga saya juga turut datang untuk memberi sokongan kepada saya nanti.
Berada di negara baru, dapat bermain golf di tempat baru merupakan sesuatu yang saya impikan sebelum ini.”
Sementara itu, Zhang yang hanya sempat bermain tiga lubang dalam sesi latihan pagi tadi kagum dengan keadaan lapangan yang dilihat cukup mencabar.
“Saya hanya bermain tiga lubang sahaja pada front nine tapi bagi saya tidak kira bermain di lapangan mana sekalipun anda perlu bermain dengan baik untuk mendapat skor yang baik.
Secara peribadi saya melihat lapangan ini akan memberi cabaran kepada semua pemain tetapi jika anda bermain dengan baik, anda tidak akan mempunyai masalah untuk mendapatkan birdie.“