Saya rasa KLGCC adalah lapangan terbaik untuk saya – Celine Boutier
Pemain golf profesional Perancis, Celine Boutier mengakui lapangan di West Course adalah sesuai dengan permainannya biarpun ramai dalam kalangan pemain lain yang menganggap lapangan tersebut sangat mencabar.
“Saya sempat main lima lubang tadi dan berdasarkan permainan tadi saya akui lapangan ini mempunyai banyak bunker dan anda perlu buat pukulan di tempat yang tepat kerana jika tidak bola anda akan ‘lari’ ke merata tempat.
Tapi saya melihat lapangan ini adalah lapangan yang baik untuk saya, jadi kita lihat nanti macam mana. Pastinya ia akan menjadi minggu yang cukup menarik,”
katanya.
Boutier adalah antara salah seorang pemain terkenal dunia yang akan beraksi dalam kejohanan Maybank Championship 2023 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) bermula 25 hingga 28 Oktober ini.
Ini bukan kali pertama beliau bermain di KLGCC kerana sebelum ini beliau pernah beraksi pada LPGA Sime Darby pada tahun 2017 tapi bermain di East Course.
Dalam pada itu, Boutier musim ini berada pada prestasi terbaik selepas beliau berjaya memenangi dua kejuaraan berturut-turut iaitu Evian Championship dan Scottish Open.
“Saya rasa kemenangan di Evian Championship adalah berjaya mencapai salah satu impian dalam karier saya dan kemudian berjaya menang pada kejohanan seterusnya juga sesuatu yang menakjubkan.
Kemenangan dua kejohanan itu nyata berjaya mengubah keseluruhan musim saya tahun ini.”
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perancangannya pada kejohanan kali ini beliau berharap agar dapat mempamerkan permainan berkualiti untuk cuba mendapatkan skor rendah sekaligus mencabar kejuaraan.
“Saya harap dapat bermain dengan baik pada kejohanan kali ini dan meletak sasaran agar dapat bersaing untuk kejuaraan pada hari Ahad (hari terakhir).”