Lydia Ko harap hujan tak turun sepanjang kejohanan Maybank Championship
Pemain golf profesional wanita terkenal dunia, Lydia Ko berharap agar cuaca di Malaysia akan menjadi lebih baik dan tidak hujan sepanjang kejohanan Maybank Championship 2023 berlangsung dari 25 hingga 29 Oktober ini di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).
Ko bagaimanapun sudah bersedia kerana beliau sudah biasa bermain di rantau Asia Tenggara yang mempunyai keadaan cuaca yang agak mencabar seperti hujan lebat.
“Keadaan lapangan cukup menakjubkan tetapi apabila anda bermain di negara seperti Malaysia, Singapura dan Thailand cuaca akan menjadi cabaran utama setiap pemain.
Dengan hujan sejak beberapa hari ini, saya harap ia akan berhenti pada hari kejohanan supaya kami dapat main dalam keadaan lapangan kering,”
katanya.
Beliau pada masa sama turut berharap hujan lebat tidak akan menjejaskan kualiti lapangan kelak.
Biarpun tidak pernah bermain di West Course dalam kejohanan sebelum ini, namun beliau mendedahkan mempunyai sedikit pengalaman bermain di situ dalam Pro-Am yang mana ketika itu beliau bermain bersama Raja Permaisuri pada tahun 2017.
Ko yang tiba di Malaysia pada awal pagi tadi tidak sempat untuk turun berlatih berikutan hujan lebat di lapangan membuatkan beliau terpaksa menunda sesi latihan beliau kepada esok.
Dalam pada itu, Ko memberitahu bahawa beliau akan turun tanpa sebarang tekanan kerana sejak kebelakangan ini prestasinya tidak konsisten tapi kini sudah semakin baik.
“Saya rasa kini saya sudah ke arah yang betul kerana masalah ball striking saya pada pertengahan musim kini sudah ada peningkatan sejak beberapa bulan lalu.”
Beliau bagaimanapun enggan terlalu yakin kerana beliau tidak hanya boleh fokus pada satu perkara sahaja, sebaliknya juga perlu fokus pada short game bagi memastikan sasaran untuk dapat skor rendah dapat dicapai.
Sementara itu, Ko juga tidak meletak sebarang sasaran untuk kejohanan ini sebaliknya hanya berharap beliau dapat bermain di bawah par untuk kejohanan ini.
“Bagi saya penting untuk kembali membina semula keyakinan saya tapi bukan bermakna saya perlu menamatkan saingan di tempat teratas sebaliknya cukup sekadar dapat bermain di bawah par setiap pusingan bagi memastikan permainan saya ada peningkatan.”