Tak janji ‘bulan & bintang’ tapi KTSA tetap berjaya lahirkan pemain berkualiti sehingga diserap ke NFDP!
Apabila bercakap mengenai pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi, negeri Terengganu merupakan antara salah sebuah negeri kilang ‘ubi muda’ yang mana ramai daripada kalangan mereka kini beraksi di peringkat tertinggi.
Pembangunan akar umbi tidak hanya boleh bergantung kepada pihak persatuan bola sepak negeri sahaja, sebaliknya akademi bola sepak turut memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat-bakat baru.
Kronos Tranung Soccer Academy (KTSA) merupakan salah satu akademi berkaliber yang telah berjaya melahirkan beberapa pemain berkualiti walaupun usia penubuhannya ‘setahun jagung’.
Menariknya, KTSA tidak melakukan pemilihan pemain untuk diserap ke dalam akademi sebaliknya terbuka untuk menerima mana-mana pemain yang ingin menyertai akademi walaupun tidak mempunyai asas bola sepak.
“Antara faktor yang menyebabkan KTSA menjadi pilihan ramai ibu bapa untuk hantar anak mereka adalah yuran di sini murah iaitu RM50 sahaja sebulan.
Kita buka peluang kepada semua pemain untuk dapat minit permainan apabila menyertai kejohanan-kejohanan. Tidak kira pemain itu bagus atau tidak, kami akan beri peluang kepada pemain itu untuk bermain,”
ujar pengasas KTSA, Yusri Omar kepada Harimau Malaya.
Menurut Yusri, walaupun mereka memberi peluang kepada kesemua pemain tetapi ia tidak bermakna mereka tidak menitik beratkan mengenai keputusan kerana pihak ibu bapa juga meletak harapan kepada akademi ini.
“Keputusan juga kita utamakan kerana jangkaan daripada ibu bapa juga mahukan akademi ini ada kejayaan tapi kita harus berpijak di bumi yang nyata.
Di sini kami tidak beri janji ‘bulan & bintang’ yang pemain akademi kami dapat pergi jauh tapi jika ada peluang kita akan cuba.”
Tambahnya lagi, selepas lebih setahun bertapak Yusri turut berkongsi pencapaian akademi yang membanggakan apabila ada pemain yang tidak mempunyai asas bola sepak dibimbing oleh mereka berjaya diserap ke Akademi Tunas dan juga Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Sementara itu, jurulatih KTSA iaitu Rosli Azizan pula memberitahu bahawa di akademi ini mereka menerapkan cara latihan bola sepak moden selain mengambil pendekatan yang berbeza dalam melatih kanak-kanak bagi memastikan apa yang diajar dapat diikuti oleh setiap pelatih.
“Tidak dapat dinafikan pada permulaan memang sukar tapi lama kelamaan Alhamdulillah pemain dapat tempo dan faham serba sedikit mengenai bola sepak.
Kalau mengajar kanak-kanak ini kita perlu faham jiwa mereka dan layan cara mereka, kita tak boleh ajar seperti kita ajar pemain dewasa. Kalau kita tak ambil jiwa mereka, mereka sukar untuk terima apa yang kita ajar.”
Rosli juga gembira dengan perkembangan positif yang ditunjukkan oleh pemain-pemainnya yang mana selain ada yang diserap ke Akademi Tunas dan NFDP, ramai juga pemainnya kini mewakili daerah masing-masing.