TFC harap dana lebih besar musim depan, tapi akan berbelanja dengan berhemah – Sabri Abas
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC (TFC), Mohd Sabri Abas berharap agar peruntukan dana dari syarikat induk iaitu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk musim hadapan akan lebih besar.
“Berkaitan dana untuk musim depan, kami di TFC yang merupakan anak syarikat PBSNT jadi seperti ‘anak kandung ni dia sentiasa mengharapkan bantuan daripada ayahnya’.
Sememangnya di pihak PBSNT juga kita mendapat bantuan dari kerajaan negeri dan sememangnya kita mengharapkan bantuan itu kalau makin lebih Alhamdulillah.
Tapi insyaAllah kami di TFC akan cuba berbelanja secara terbaik bagi memastikan dana yang diberikan kepada TFC akan dibelanja secara berhemah dan ukur di baju sendiri,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tidak dapat dinafikan selain JDT, TFC merupakan antara pasukan gergasi yang mempunyai pengurusan kelab yang cukup bagus dengan pelbagai fasiliti dan mempunyai program pembangunan bola sepak yang terbaik dan paling penting tiada masalah kewangan seperti kelab-kelab lain.
Dalam pada itu, Sabri juga bangga dengan kemampuan kelab untuk melahirkan ramai pemain-pemain muda tempatan berkualiti yang kini beraksi dalam skuad utama di Liga Super.
“Saya melihat pasukan TFC kini dibarisi oleh pemain-pemain tempatan cukup berkualiti dan boleh dikatakan setanding dengan pemain tempatan JDT.
Kita juga berharap kesemua pemain tempatan dan juga import dapat beri komitmen tinggi bagi memastikan TFC akan sentiasa menjadi pencabar kejuaraan Liga Super.”
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai sasaran TFC bagi baki saingan musim 2023, beliau meletak sasaran untuk pasukan berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan juga sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFC.
“Untuk baki musim ini TFC masih berada di landasan tepat yang mana pertamanya kita selangkah lagi untuk mara ke final Piala Malaysia.
Seterusnya bagi Piala AFC, TFC juga berada di landasan tepat jadi kami berhasrat melangkah sejauh yang mungkin dan insyaAllah dengan prestasi semasa pasukan saya yakin kita mampu mara ke peringkat seterusnya.”
TFC akan turun menentang Stallion Laguna FC dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan G Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) untuk merampas kedudukan pertama kumpulan sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk mara ke separuh akhir Zon ASEAN.