Kelly Tan positif tamatkan hari pertama dengan 1 dibawah par

136

Pemain golf profesional negara, Kelly Tan tetap berpuas hati dengan permainannya pada hari pertama Maybank Championship 2023 walaupun hanya berjaya menamatkan permainan dengan satu dibawah par.

“Tidak dinafikan ia bukannya hari yang baik jika anda melihat papan pendahulu dengan banyak pemain berjaya bermain rendah hari ini terutamanya dengan kondisi lapangan yang lembut dan tidak laju dan tidak firm.

Tapi bermain dibawah par masih lagi okay dan saya melihat ia dari sudut positif. Saya tahu ada banyak peluang untuk birdie, jadi ia adalah momen yang akan merangsang permainan saya,”

katanya.

Dengan skor 71, Kelly kini berada di kedudukan T52 bersama sembilan lagi pemain lain yang turut menamatkan hari pertama dengan satu dibawah par.


Menariknya, Kelly turut menyambut ulang tahun kelahirannya ke 30 hari ini dan mengucapkan terima kasih atas ucapan daripada semua pihak.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai permainannya hari ini, Kelly mengakui bermula agak goyah sedikit kerana gementar pada lubang pertama.

“Saya bermula dengan gemuruh dan ini mungkin kali pertama setelah lama tidak berasa gemuruh seperti ini. Tidak dapat tidur lena semalam.

Saya bangga yang saya dapat habiskan permainan hari ini. Yeah, saya sebenarnya bermain agak baik cuma bergelut sedikit dengan driver.”

Tambahnya lagi, walaupun beberapa pukulannya berakhir di dalam bunker, namun beliau tetap berjaya melakukan pukulan yang baik untuk meletakkan bola di atas green.

Sementara itu, walaupun goyah pada hari pertama beliau tetap dengan strategi permainannya iaitu bermain dengan agresif.

“Saya rasa hari pertama adalah paling sukar, tapi selepas beberapa lubang saya sudah tidak lagi gemuruh.

Strategi permainan saya akan sama iaitu saya akan bermain dengan agresif.”