Impian untuk kutip mata pertama di Piala AFC tercapai – Ernest Nierras
Ketua jurulatih Stallion Laguna FC, Ernest Nierras nyata gembira selepas mereka berjaya mengikat pasukan Terengganu FC 2-2 dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala AFC 2023 petang tadi.
Menurut Nierras, keputusan seri itu sekaligus membuatkan impian mereka untuk mengutip mata pertama di kejohanan Piala AFC tercapai juga.
“Kalau menang memang akan jadi lebih baik, tapi kita bersyukur kerana berjaya capai sasaran untuk mengutip mata pertama di Piala AFC tidak kisah seri atau menang.
Saya juga teruja dengan penghargaan daripada penyokong Terengganu yang turut memberi sokongan kepada kami, malah mereka juga minta jersi kami yang mana saya sendiri beri baju dan topi saya kepada penyokong.
Ia menunjukkan yang mereka suka melihat cara kami bermain dan saya sangat menghargainya,”
katanya.
Kejayaan berjaya memperoleh keputusan seri selepas tewas besar dalam dua perlawanan terdahulu menentang Bali United dan Central Coast Mariners nyata memberi motivasi tambahan buat mereka untuk baki saingan Piala AFC kali ini.
Dalam pada itu, beliau turut memuji pemain-pemainnya yang mempamerkan aksi yang cukup menarik sepanjang tempoh perlawanan walaupun mereka melepaskan gol penyamaan pada penghujung babak kedua.
“Saya rasa pemain bermain dengan baik sekali walaupun bermain dalam cuaca yang sangat panas hari ini.
Pujian kepada kedua-dua pemain saya yang menjaringkan gol yang cantik bagi saya. Inilah corak permainan kami, bila dapat bola kami akan berlari ke hadapan.”
Beliau turut mendedahkan terpaksa membuat perubahan taktikal pada separuh masa kedua selepas beberapa pemainnya mengalami kecederaan di separuh masa pertama dek tidak biasa bermain di atas rumput semulajadi.
Stallion Laguna selepas ini akan terus membuat persiapan bagi menghadapi pusingan kedua peringkat kumpulan.