Jasmine Suwannapura kekal dominasi untuk mendahului hari kedua Maybank Championship
Pemain golf sensasi Thailand, Jasmine Suwannapura meneruskan dominasinya apabila kekal mendahului kejohanan Maybank Championship 2023 pada hari kedua selepas mencatat tiga dibawah par untuk mengumpul 12 dibawah par secara keseluruhan.
“Pada lubang 18 saya terlepas birdie putt dan saya tanya kedi saya siapa sedang mendahului kerana saya tidak fikir yang saya masih mendahului.
Apa yang saya boleh katakan ia adalah kebangkitan yang cukup baik pada back nine, jadi saya berjaya dapatkan empat, lima birdie. Jadi saya gembira dapat terus menjadi pendahulu,”
katanya.
Suwannapura kini mendahului dengan hanya satu pukulan dihadapan Rose Zhang yang berada di kedudukan kedua dengan 11 dibawah par.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai permainannya pada hari kedua Suwannapura tidak berasa tertekan selepas melakukan dua bogey di awal permainannya, sebaliknya mengakui posisi pin hari ini lebih sukar.
“Saya tidak tertekan dengan dua bogey awal, dan saya rasa hari ini terutamanya posisi pin sangat sukar, jadi beberapa bogey boleh dikatakan masuk akal juga.
Jadi saya buat yang terbaik dan berharap dapat melakukan birdie pada lubang berikutnya. Sekurang-kurangnya saya dapat cover balik bogey dengan birdie.”
Tambahnya lagi, hari ini beliau tidak bermain dengan baik tetapi bermain dengan lebih bijak dan gembira apabila berjaya melakukan putting dengan baik.
Sementara itu, menjelang aksi hari ketiga esok beliau akan memastikan dirinya rehat secukupnya supaya beliau dapat mengekalkan momentum cemerlangnya.
“Saya rehat panjang hari ini kerana cuaca hari ini sangat panas berbanding semalam. Jadi saya perlu jaga kesihatan badan bagi memastikan saya bersedia untuk esok dan hari terakhir.”