KBS akan hidupkan semula program pembangunan untuk sukan golf

295

Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu pihaknya akan membangunkan semula program pembangunan bakat untuk sukan golf

Hannah berkata demikian selepas beliau sendiri mendengar pandangan dan cadangan daripada pemain-pemain golf negara selepas satu pertemuan di kejohanan Maybank Championship 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) sebentar tadi.


“Pertemuan dengan pemain-pemain golf negara tadi mereka tidak minta apa-apa pun untuk diri mereka, sebaliknya mereka minta untuk hidupkan semula program pembangunan seperti yang pernah ada sebelum ini.

Program itu akan bantu mereka untuk belajar, jadi mereka minta KBS wujudkan semula program itu pada tahun hadapan,”

katanya.

Hannah pada masa sama mahu pastikan pihak KBS mempunyai hubungan yang rapat dengan pemain-pemain golf negara.

Dalam pada itu, beliau pada masa sama turut memberitahu pihaknya kini sedang berusaha untuk memastikan pelajar sekolah mendapat akses kepada padang golf.

“Di Malaysia ketika ini apabila kita bercakap mengenai golf faktor utama akses kepada padang golf yang mana berapa banyak padang golf yang boleh diakses oleh pelajar sekolah.

Sebab itu KBS memiliki KGNS dan pengerusi kita untuk Perbadanan Padang Golf Negara Subang iaitu Tony Pua yang mana beliau akan memantau program pembangunan bakat untuk sukan golf.”

Beliau juga mahu pastikan aset KGNS mempunyai ruang untuk program ini termasuk akses kepada golongan B40.

Sementara itu, Hannah yang hadir turut menyampaikan geran padanan berjumlah RM1 juta kepada pihak penganjur Maybank Championship.

Untuk tahun ini, KBS telah menyediakan dana padanan berjumlah RM40 juta yang mana mereka akan memberi dana sebanyak 50% atau maksimum RM1 juta kepada penganjur acara sukan.