Sean Pyun harap dapat lihat bintang golf Malaysia bersinar di tempat sendiri satu hari nanti

143

Setelah lebih enam tahun, LPGA kembali ke Malaysia untuk kejohanan golf berprestij dunia iaitu Maybank Championship 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) yang berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Urusan LPGA Asia iaitu Sean Pyun, beliau agak terkejut dengan sambutan oleh orang ramai pada kejohanan ini dan melebihi jangkaan daripada pihak mereka sendiri.


“Saya boleh katakan sambutan yang kami terima lebih daripada jangkaan walaupun keadaan cuaca yang panas, kami melibat ramai yang turun untuk menyaksikan kejohanan ini sejak hari pertama lagi.

Dua hari pertama termasuk hari ini apa yang saya boleh katakan sambutan cukup memberangsangkan dari jangkaan LPGA seperti operasi, penjenamaan dan media, jadi kita harap esok lebih baik. Kami cukup teruja dapat kembali ke Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk kejohanan kali ini, sebanyak 78 pemain golf profesional terkemuka dunia berkampung di KLGCC bagi merebut wang hadiah terkumpul berjumlah lebih RM14 juta.

Sean Pyun turut melihat perkembangan yang cukup positif dalam dunia golf wanita yang mana ia tidak lagi didominasi oleh pemain golf wanita dari Korea Selatan, sebaliknya sudah memperlihatkan pemain dari negara Asia lain seperti Thailand dan China juga kini menjadi pencabar kejuaraan.

“Saya rasa pool talent yang kita ada ketika ini semakin besar dan hebat. Sejujurnya saya rasa kita akan lihat beberapa pemain dari Malaysia yang akan bersinar dalam jelajah LPGA dan ia akan meningkat dari semasa ke semasa.

Dari sudut perniagaan pula, apabila kita mempunyai bakat yang datang dari negara berbeza kita juga menarik minat negara-negara itu untuk menganjurkan kejohanan LPGA, jadi untuk masa hadapan kita akan melihat lebih banyak kejohanan sekaligus dapat menarik lebih banyak penaja.”

Dalam pada itu, Sean Pyun berkata dengan peningkatan orang ramai terhadap sukan golf di Malaysia, beliau berharap dapat melihat pemain golf dari Malaysia dapat menjuarai kejohanan di tempat sendiri pada satu hari nanti.

“Peningkatan jumlah orang yang datang ke kejohanan kali ini berbanding edisi lalu, saya rasa berdasarkan pengalaman kami ingin melihat pemenang di Malaysia daripada bintang Malaysia seperti Kelly Tan yang bersaing di peringkat tertinggi untuk dapat keputusan yang baik.

Kami sudah melihat perkara ini berlaku di Thailand dan negara lain yang mana bintang dari negara sendiri berjaya, peminat akan ikut kerana kami jangka, percaya dan tahu ia akan berlaku. Jadi saya harap ia akan berlaku tidak lama lagi.”

Sementara itu, beliau turut menyedari bahawa 95% pemain golf di Malaysia adalah lelaki dan hanya lima peratus sahaja pemain golf wanita.

Oleh itu, pihaknya juga memainkan peranan dengan menjalin kerjasama dengan Maybank untuk pembangunan akar umbi untuk melahirkan lebih ramai pemain golf wanita hebat dari Malaysia.