Kemenangan di Maybank Championship 2023 lonjak Celine Boutier ke kedudukan No.1

176

Kejohanan Maybank Champions 2023 cukup dramatik apabila menyaksikan pemenangan terpaksa ditentukan menerusi play-off  antara Celine Boutier dan Atthaya Thitikul yang berlanjutan sebanyak sembilan lubang.

Boutier memperlihatkan permainan yang cukup mantap untuk memastikan kejuaraan miliknya apabila berjaya melakukan birdie pada lubang ke 15 selepas Thitikul hanya mendapat par.


Menurut Boutier, biarpun tidak berada dalam kedudukan teratas pada hari ketiga, namun beliau tetap kekal fokus dengan permainannya sahaja dan cuba mendapatkan birdie sebanyak yang mungkin pada hari terakhir.

“Saya tidak melihat papan pendahulu, sebaliknya saya hanya fokus pada diri sendiri dan permainan saya sahaja. Jadi untuk hari ini saya turun dengan cukup fokus dengan misi untuk dapatkan birdie sebanyak yang mungkin.

Tidak dapat dinafikan aksi play-off sememangnya sukar tapi saya berjaya untuk berada pada tahap terbaik untuk menang. Thitikul juga seorang pemain yang hebat kerana beliau tidak akan buat kesilapan, jadi bila ada peluang untuk lakukan birdie saya ambil peluang itu untuk berikan kelebihan buat saya,”

katanya.

Tambahnya, antara faktor utama kejayaan beliau adalah putting semakin baik dari hari pertama hingga ke hari terakhir.

Kemenangan itu menyaksikan beliau membawa pulang wang hadiah berjumlah lebih RM2.1 juta sekaligus telah berjaya mengumpul wang hadiah lebih RM13 juta untuk musim ini.

Tidak hanya julang trofi, pemain golf dari Perancis itu meraikan kejayaan berganda apabila kemenangannya itu menyaksikan beliau berjaya mengutip 30 mata  sekaligus melonjakkan dirinya ke kedudukan No.1 Rolex Player of the Year.

Ini adalah kemenangan keempat beliau dalam LPGA Tour pada musim ini.

Dalam pada itu, perlawanan play-off terpaksa dihentikan sektika susulan cuaca hujan lebat namun beliau dapat mengekalkan fokus apabila permainan bersambung.

“Selepas play-off ditunda kerana hujan saya pergi ke bilik loker dan duduk bersendirian supaya tidak hilang fokus, dan apabila permainan bersambung saya dapat kekalkan momentum untuk pamer aksi cemerlang.”

Sementara itu, play-off sebanyak sembilan lubang telah menyamai rekod play-off di kejohanan Kingsmill Championship pada tahun 2012 yang mana ketika itu Jiyai Shin berjaya menewaskan Paula Creamer.