Isu LMS Tigress FC, Steffi Sidhu mahu pengurus pasukan sendiri tampil bersuara

308

Nampaknya kemelut yang melanda Liga Super nampaknya merebak ke saingan Liga Wanita Nasional (LWN) apabila ‘kehilangan’ pasukan LMS Tigress FC dalam beberapa perlawanan liga baru-baru ini mula mendapat perhatian.

Ketidakhadiran LMS Tigress pada hari perlawanan telah menyaksikan pasukan lawan diberikan kemenangan percuma 3-0.


Dua pasukan yang mendapat kemenangan percuma adalah Sabah FA dan Malaysian University.

Apa yang menjadi persoalan ketika ini apakah sebab utama mereka tidak hadir pada hari perlawanan? Adakah berpunca dari masalah kewangan? Atau masalah lain?

Sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan kelab.

Kapten pasukan, Steffi Sidhu yang diminta untuk mengulas mengenai perkara ini tidak dapat memberikan sebarang komen.

“Boleh tanya pengurus pasukan. Terima kasih,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Cubaan untuk menghubungi pengurus pasukan iaitu Ahmad Feisal Bin Dato’ Seri Mohamed Zulkefli turut gagal kerana tiada sebarang maklum balas.

Dalam pada itu, pihak penganjur iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara ini.

Malah, cubaan untuk mendapatkan kepastian daripada Unit Pertandingan Bola Sepak Wanita FAM juga gagal.

Diharap pihak yang terlibat dapat segera tampil untuk menjelaskan situasi sebenar kerana dengan ‘kehilangan’ LMS Tigress ia telah menjejaskan kualiti dan daya saing LWN.

Berdasarkan kedudukan semasa LWN, LMS Tigress berada di kedudukan kelima selepas sembilan perlawanan; dua menang, satu seri dan enam kekalahan (termasuk dua kekalahan percuma).