Syafiq Kamal akui penyenaraian skuasy di Olimpik 2028 beri motivasi tambahan buat beliau

177

Pemenang pingat perak dan gangsa dalam sukan skuasy di Sukan Asia 2022 Hangzhou baru-baru ini iaitu Mohd Syafiq Kamal nyata teruja dengan pengumuman Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang mengesahkan skuasy disenaraikan dalam Sukan Olimpik 2028 Los Angeles 2028.

Menurut Syafiq, selepas berdekad menunggu berita gembira ini beliau dan pemain skuasy negara lain berasa cukup bermotivasi dengan pengumuman itu kerana akhirnya mereka berpeluang untuk menyumbang pingat buat Malaysia di temasya terbesar dunia itu.


“Mendapat tahu skuasy masuk ke Olimpik 2028 adalah satu berita yang cukup gembira bukan sahaja buat saya tetapi juga buat pemain skuasy di seluruh dunia selepas lebih setahun mempromosikan sukan ini untuk Olimpik.

Jadi dengan penyenaraian skuasy dalam Olimpik ia akan menaikkan motivasi pemain-pemain kita dan juga pemain di seluruh dunia untuk beraksi di pentas Olimpik.

Secara tidak langsung ia akan membuatkan saya lebih bertekad untuk tingkatkan lagi prestasi saya bermula tahun hadapan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Syafiq juga menyuarakan keyakinan beliau bahawa pasukan skuasy negara mungkin mampu memberikan kilauan emas buat negara atau sekurang-kurangnya pingat perak atau gangsa.

Semalam Jawatankuasa Road To Gold (RTG) yang telah bermesyuarat telah memutuskan untuk meminta Ahli Jawatankuasa RTG dan Timbalan Chef De Mission, Datuk Nicol Ann David untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk bangunan pelan strategik untuk kemasukan skuasy ke dalam program RTG.

“Buat masa ini saya masih belum dimaklumkan mengenai perkara ini buat masa ini kerana mungkin dalam perancangan tapi saya yakin dengan kemampuan Datuk Nicol untuk membantu pasukan negara.

Kita sedia maklum beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang cukup luas dalam skuasy, jadi kita yakin dengan kemampuan beliau untuk merangka strategi terbaik menjelang Olimpik 2028 nanti.”

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan selepas pulang dari Hangzhou, Syafiq berkata beliau belum sempat berehat lagi sebaliknya terus terbang ke Guatemala untuk meneruskan latihannya di sana.

Ini kerana selepas fokus untuk latihan sepanjang tahun ini dengan tidak menyertai sebarang kejohanan, beliau kini sedang mempersiapkan diri untuk kembali beraksi di kejohanan-kejohanan akan datang untuk memperbaiki kedudukan rankingnya.

“Untuk tahun hadapan saya akan kembali menyertai kejohanan-kejohanan untuk cuba dapatkan balik kedudukan ranking terbaik saya sebelum ini iaitu di kedudukan ke-70 dunia.

Saya akan ikut bajet oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pilih kejohanan-kejohanan yang sesuai dan berpotensi untuk saya kutip mata semaksimum yang mungkin.”

Sementara itu, Syafiq yang menyedari sukan skuasy tidak sepopular berbanding sukan bola sepak dan badminton, namun beliau berharap dalam tempoh lima hingga 10 tahun ke hadapan perkara itu akan berubah.

Beliau juga berharap pihak bertanggungjawab dapat terus mempromosikan skuasy kepada semua lapisan masyarakat supaya ia mendapat sokongan daripada banyak pihak.

Sekiranya sukan skuasy mampu mendapat ‘kemewahan’ seperti sukan popular lain, Malaysia mampu melahirkan ramai pemain berkelas dunia sekaligus menjadikan negara sebagai gergasi skuasy dunia.