Sudah menjadi tugas setiap pemain JDT untuk buktikan mereka memang layak ada di sini – Syafiq Ahmad
Pemain sayap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad akui keberadaan seorang pemain di pasukan tersebut ibarat sentiasa diperhatikan.
Beliau yang baru sahaja menyumbangkan gol buat pasukan itu pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menyatakan bahawa persaingan didalam pasukan adalah sentiasa sengit.
“Setiap pemain disini telah dikira pemain yang terbaik. Oleh itu bagi saya, persaingan itu tidaklah hanya di atas padang sahaja namun sewaktu sesi latihan juga.
JDT bukan tempat untuk bermain, JDT adalah tempat yang serious,”
katanya.
Syafiq menyifatkan ianya sudah menjadi antara tugas pemain didalam pasukan ini untuk membuktikan bahawa mereka layak terpilih dan apa keistimewaan mereka sehingga layak menyertai pasukan ini berbanding pemain-pemain yang lain.
“Setiap kali diberi peluang untuk saya beraksi untuk JDT, saya pastinya akan cuba memberikan yang sehabis baik.”
Sementara itu, beliau juga mengakui mahu kembali menyarung jersi Harimau Malaya untuk bantu pasukan tetapi perkara itu perlu diserahkan kepada ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk menilai kemampuan setiap pemain.
Dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia, JDT dengan mudah berjaya ke perlawanan akhir selepas membelasah Perak FC 8-1 untuk menang 12-2 secara agregat.