Kemenangan ini ibarat hadiah buat saya – Justin Ganai

475

Jurulatih skuad bola sepak wanita Sabah, Justin Ganai teruja pasukan anak didiknya berjaya menjulang piala Liga Wanita Nasional (LWN) buat pertama kalinya yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau yang tidak henti merakamkan ucapan syukurnya berkata ianya ibarat sebuah hadiah buat dirinya sebagai seorang jurulatih yang seringkali kekal memperoleh tempat yang kedua didalam kejohanan yang berbeza sebelum ini.


“Pasukan saya kerap mendapat tempat kedua seperti di Piala Malaysia 2002 dan 2003 dan Piala Presiden 1996 dan 1997. Sudah lama saya idamkan pasukan saya menjadi juara.”

Ujarnya.

Beliau menyatakan kegusarannya apabila menyaksikan jaringan gol pertama permainan yang dihasilkan oleh pihak lawan, Malaysian University dan tidak inginkan kedudukan mata yang seri.

Namun pasukan Sabah dengan pantas mendaki semula tangga kejuaraan dengan membalas jaringan gol didalam minit yang sama.

“Hampir-hampir sahaja kami kempunan waktu itu kerana mereka telah menjaringkan gol terlebih dahulu, tetapi ianya sudah menjadi rezeki kami.”

Justin berkata perancangan strategi dan latihan yang awal adalah lebih baik untuk melatih anak buahnya untuk terus bermain dengan cemerlang.

Beliau percaya bakat serta potensi pemain muda yang ramai didalam pasukannya mampu digilap lagi dan menjadi pelapis kepada ‘senior’ mereka.

Jurulatih itu juga menyebut tentang kelincahan pemain dari pasukan lain dan yakin akan terus mempelajari corak permainan mereka juga.

“Kami tidak tahu tahap kekuatan pasukan dari semenanjung Malaysia, tetapi lama kelamaan kami akan terus belajar dan fahami dengan baik.”

Beliau juga sempat berkongsi tentang keadaan padang di Sabah yang boleh menjejaskan sesi latihan pasukannya, namun tetap tidak menjadi penghalang untuk merangkul kejuaraan.