Kelab beraksi di Liga Super musim depan wajib ada skuad Piala Presiden & Piala Belia
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini telah mengumumkan bahawa setiap kelab yang akan beraksi pada saingan Liga Super pada musim hadapan diwajibkan untuk mempunyai skuad untuk Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-18).
Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali kesembilan bagi penggal 2021-2025.
Sedar dengan kemelut kewangan yang dihadapi oleh kebanyakan kelab pada musim ini, Pengarah Teknikal FAM iaitu Scott O’Donell berkata pengurusan kelab perlu bijak dalam menguruskan bajet dan berbelanja mengikut kemampuan.
“Ia adalah sebahagian dari syarat pelesenan dan mungkin sesetengah kelab akan bergelut tapi mereka tidak perlu ada skuad yang besar, jadi saya seru setiap kelab untuk berbelanja mengikut kemampuan.
Tahun ini saya ada buat penilaian yang mana saya dapati ada kelab yang mempunyai 30 pemain. Buat apa mereka perlu sampai 30 pemain dalam skuad B-18? Saya faham situasi yang dihadapi oleh mereka, tapi ada jalan penyelesaiannya,”
katanya.
Tambahnya lagi, kelab boleh melakukan penjimatan dengan mengurangkan staf kejurulatihan dan juga melakukan rotasi pemain di antara skuad B-18 dan skuad B-20.
O’Donnell pada masa sama berkata setiap kelab perlu menganggap skuad B-18 dan B-20 sebagai satu pelaburan jangka masa panjang untuk setiap kelab.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi juga sedar beban yang akan ditanggung oleh kelab dengan penambahan skuad Piala Presiden dan Piala Belia, tetapi beliau berkata usaha ini adalah untuk pembangunan bola sepak negara.
“Memang kita tidak nafikan tapi sekarang ini kita mengharapkan semua pasukan-pasukan ini mencari solusi kerana kita tidak boleh menjejaskan pembangunan kerana pembangunan wajib untuk kita lahirkan pemain-pemain.
Jadi setiap pasukan perlu sediakan bajet untuk pembangunan dan tidak hanya fokus pada skuad utama sahaja.”
Jelasnya lagi, beliau mahu setiap kelab tidak hanya memberi tumpuan kepada skuad sahaja tetapi juga memberi perhatian juga kepada pembangunan akar umbi.
Yusoff juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku masalah, namun beliau mahu kelab bijak dalam soal perbelanjaan.
Saingan Piala Presiden akan bermula Februari hingga Ogos dan Piala Belia pula bermula Mac hingga September.