Sumareh hanya perlukan 87 minit permainan untuk pikat Kim Pan-gon

251

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah pun mengeluarkan senarai 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk kem latihan pusat Harimau Malaya.

Mereka akan memulakan latihan pertama pada Jumaat, 10 November ini bagi membuat persiapan menghadapi perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023 dan Chinese Taipei pada 21 November 2023.


Bagaimanapun senarai 25 pemain itu mendapat perhatian ramai penyokong apabila pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh turut dipanggil yang mana ia telah mencetuskan pelbagai persoalan daripada penyokong tegar Harimau Malaya.

Tidak dinafikan ramai penyokong yang meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan kehadiran Sumareh yang dikatakan tenggelam sepanjang musim ini selain bukan pemain utama untuk kelabnya Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini.

Malah ada yang berkata lebih ramai pemain yang layak untuk berada dalam skuad terutamanya pemain-pemain yang berada dalam senarai bersedia.

Apa yang menarik adalah Sumareh hanya perlukan 87 minit permainan untuk sepanjang musim ini untuk menarik perhatian Pan-gon untuk menyenaraikannya dalam skuad kali ini.

Semakan di laman sesawang transfermarkt, pemain berusia 29 tahun itu berada dalam senarai skuad untuk lapan perlawanan tetapi hanya diturunkan sebanyak empat kali sahaja dengan dua pada perlawanan Piala FA dan dua pada Piala Malaysia.

Beliau membuat penampilan pertama untuk musim 2023 pada 14 April pada perlawanan pusingan 16 Piala FA dengan mendapat minit permainan sebanyak 18 minit sahaja ketika JDT membenam PDRM FC 3-0.

Ketika perlawanan suku akhir menentang Penang FC pula, beliau sekali lagi diturunkan sebagai pemain gantian dan mendapat 31 minit permainan.

Untuk saingan Piala Malaysia pula, pemain yang berasal dari Gambia itu diturunkan pada pusingan 16 ketika menentang Kelantan FC dengan 24 minit permainan.

Baru-baru ini pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, beliau sekali lagi diturunkan ketika menentang Perak FC, namun hanya mendapat 14 minit permainan sahaja.

Dengan keseluruhan 87 minit permainan yang dikumpul tanpa sebarang gol atau bantuan gol, beliau berjaya ‘memikat’ pengendali skuad negara untuk menyenaraikannya.

Biarpun ramai yang mempertikaikan kehadiran pemain itu dalam skuad, namun kepercayaan penuh perlu diberikan kepada Pan-gon kerana pastinya beliau sudah membuat penilaian terperinci mengenai perkara ini sebelum membuat keputusan.

Apa pun sama-sama teruskan memberi sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya yang akan turun beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nanti.