Sabah mahukan lebih ramai atlet E-sports
Tidak dinafikan lagi sukan elektronik (e-sports) sudah semakin mendapat tempat di dalam arena sukan negara masa kini.
Meskipun ianya tidaklah berbentuk fizikal dan banyak mengeluarkan peluh seperti sukan konvensional yang lain, namun e-sports juga turut memberikan pelbagai manfaat buat para atletnya.
Menjurus kepada penglibatan sukan ini di negeri Sabah khususnya, e-sports juga amat digemari ramai belia muda disini namun kepayahan dalam mendapatkan liputan internet yang menyeluruh menjejaskan latihan sukan tersebut.
Jurulatih sukan elektronik (e-sports) pasukan NS Insanity Firdaus Liau Junior berpendapat sukan ini digemari oleh pemain dari seluruh melosok Negeri Di Bawah Bayu ini, termasuklah mereka yang menetap di kawasan pendalaman.
“Mereka yang di pendalaman juga sanggup datang ke Kota Kinabalu untuk menyertai pasukan ini.”
“Sememangnya mereka amat meminati e-sports dan juga memiliki kemahiran yang bagus.”
Katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau yang juga merupakan seorang pensyarah Jesselton University College berkata permainan ini mempunyai ‘platform’ yang besar, ia menyediakan peluang pekerjaan yang luas bukan sahaja buat semua yang terlibat didalam sukan ini.
Ketika ditemui di institusi pada malam Selasa, Firdaus menegaskan bahawa setiap sukan sudah pastinya menanggung risiko yang berbeza.
“Kedua-dua sukan boleh membuatkan kita tercedera. Contohnya, sukan fizikal boleh memberi impak kepada kaki dan tangan manakala sukan e-sports berkait dengan kordinasi mata dan kelesuan tangan.”
“Apa yang penting adalah kemahuan ingin belajar mengatasi risiko yang sukan itu miliki.”
Salah seorang atlet e-sports didikan NS Insanity Hazriel Farish berkata minatnya di dalam sukan ini hanya bermula di dalam permainan atas talian ketika dirinya masih dibangku sekolah.
Beliau yang baru sahaja mendapatkan tempat ketiga sewaktu Hari Sukan Negara bulan lalu, menyatakan bahawa keseronokan dalam e-sports adalah berbeza berbanding sukan lain.
“Waktu sekolah dahulu saya pernah juga bermain futsal dan bola sepak, tapi permainan ini lebih ‘syok’.”
“Permainan e-sports lebih mudah, tidak perlu keluar, hanya menggunakan telefon bimbit dan boleh membuat kawan dari luar negara.”
Apabila ditanya tentang cabaran bermain e-sports, atlet berusia 18 tahun ini berkata ianya berkait rapat dengan kemampuan seseorang dalam memiliki peralatan elektronik yang lengkap.
Beliau mengharapkan NS Insanity serta sukan ini akan lebih dikenali dan diterima ramai orang di masa hadapan.